Konstabel Polis Bebas Tuduhan Rasuah, Hukuman Dua Rakannya Kekal

Diterbitkan: Selasa, 31 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa melepas dan membebaskan seorang anggota polis berpangkat konstabel daripada tuduhan memperoleh rasuah RM200 daripada seorang pengawal keselamatan enam tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Abd Sofian Abd Razak memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Zulkarnain Zakaria, 29, terhadap hukuman penjara dua bulan serta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 18 Oktober, 2010.

Mohd Abd Sofian bagaimanapun menolak rayuan dua lagi rakannya sekerjanya iaitu Lans Koperal Abdul Sukor Abd Rahman, 41, dan Konstabel Noordaniel A. Rahman, 27, terhadap sabitan dan hukuman yang sama, dan mengekalkan hukuman mereka.

Dalam penghakimannya, Mohd Abd Sofian berkata selepas meneliti rekod, pihaknya mendapati Hakim Mahkamah Sesyen mengguna pakai prinsip undang-undang yang betul dan tidak terkhilaf semasa mensabitkan Abdul Sukor dan Noordaniel atas tuduhan tersebut.

Beliau bagaimanapun mendapati Zulkarnain tidak mempunyai kaitan dengan kesalahan mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 itu.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Sinti hadir bagi pihak pendakwaan sementara Zulkarnain, Abdul Sukor and Noordaniel diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusof.

Abdul Sukor, Noordaniel dan Zulkarnain sebelum ini dibicarakan atas tuduhan bersama-sama memperoleh suapan wang tunai RM200 daripada Azihal Hashim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Azihal yang menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak menjalankan ujian dadah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan AU3/10, Taman Sepakat, Ampang, kira-kira pukul 4.30 petang, 15 April 2005.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan