Pernikahan Rahsia Nurul AF2 Di Thailand Jadi Tarikan

Diterbitkan: Isnin, 30 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENYANYI, Nurul yang menyertai industri seni menerusi rancangan realiti, Akademi Fantasia musim kedua telah pun selamat mendirikan perkahwinan dengan seorang pensyarah, Mohd Munzil Muhammad pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, majlis pernikahan pasangan tersebut sebenarnya telah dilangsungkan sebulan awal, iaitu pada 23 April lalu di Majlis Agama Islam Narathiwat, Thailand.

Semuanya gara-gara ayah kandung Nurul, Zawawi enggan menjadi wali kerana dikatakan berpunca daripada masalah keluarga yang terjadi sejak penyanyi wanita itu masih kecil.

Keengganan wali dan masa yang suntuk untuk memohon wali hakim - mengikut Nurul permohonan tersebut mengambil masa selama 21 hari, tidak termasuk hari bercuti - menyebabkan pasangan itu memilih untuk bernikah di sempadan negara sebelum mendaftarkan perkahwinan tersebut mengikut undang-undang negara ini.

Ini kerana, pada majlis pertunangan yang diadakan pada bulan Februari lalu, kedua-dua pihak telah sepakat agar majlis pernikahan diadakan pada 28 Mei ini (Sabtu) diikuti majlis persandingan pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, agak 'malang' apabila prosedur mahkamah itu dihidu oleh pihak media menyebabkan kes itu mendapat liputan, sedangkan media telah 'tertinggal' prosiding pertama iaitu semasa Mohd Munzil memberi keterangan.

Itu adalah antara implikasi yang berlaku apabila berkahwin dengan individu yang berstatus 'VIP' mahupun artis atau selebriti kerana sudah pasti pergerakan mereka diikuti dan menjadi perhatian.

Tidak semua menyenangi kehadiran media, yang sebenarnya hanya menjalankan tugas dan ada juga yang mempertikaikan kehadiran wartawan di dalam mahkamah - sedangkan semua maklum sesiapa pun boleh memasuki galeri awam mahkamah, melainkan jika ada perintah sekatan.

Apapun, cerita mengenai pernikahan itu yang keluar daripada mulut Nurul sudah pasti sama dengan versi Mohd Munzil,28, bagaimana mereka berlepas dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan dengan menaiki kapal terbang sebelum bertolak masuk ke Thailand dengan menaiki kereta.

Berdasarkan keterangan Nurul atau nama sebenarnya, Nurullah Abdul Hamid, 29, dia menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 pada majlis tersebut yang diadakan di rumah wali am, Wan Husin Wan Ab Rahman ekoran pejabat majlis agama itu tutup pada hari Sabtu.

Pada hari yang sama permohonan pengesahan lafaz nikah Nurul didengar di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kajang, seorang wanita membuat permohonan untuk mendapatkan wali hakim, juga atas atasan bapanya enggan menjadi wali.

Alasan yang diberikan ialah bapanya telah lama mengabaikan keluarga manakala abang ipar wanita tersebut selaku saksi memberitahu bahawa bapa mertuanya seorang yang panas baran.

Keterangan yang paling 'meninggalkan kesan' sudah pasti datang daripada kenyaaan kakak wanita itu yang menggelarkan ayahnya sebagai 'gila' dalam nada yang agak tinggi.

Apabila Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah mahu menangguhkan kes kepada hari yang lain ekoran timbul isu baru 'iaitu wali tidak layak atas alasan gila' wanita tersebut terus menangis.

Ibu wanita itu yang duduk di galeri awam dengan perlahan tampil ke hadapan dan memohon agar mahkamah membuat keputusan itu secepat mungkin kerana semua persiapan perkahwinan telah dibuat.

Sekali lagi, isu kesuntukkan masa terjadi dan atas budi, Abdul Halim membenarkan agar kes itu diteruskan pada hari yang sama sebelum memberikan keputusannya.

Tidak dapat dibayangkan betapa besarnya aib yang terpaksa ditanggung oleh keluarga tersebut, jika majlis pernikahan yang telah 'dicanangkan' terpaksa dibatalkan, sedangkan jemputan telah diedarkan.

Impian mendirikan masjid itu mendapat tentangan daripada wali, yang secara lojiknya berkongsi kegembiraan dua mempelai itu.

Tidak wajar anak menjadi mangsa dalam pertelingkahan keluarga atau dibiarkan dalam keadaan terumbang-ambing jika perkahwinan orang tua itu terlerai di pertengahan jalan.

Masing-masing mempunyai tanggungjawab, dan ikatan antara ayah , ibu dan anak tidak tamat hanya kerana sepucuk surat cerai.

Apatah lagi jika anak tersebut jantinanya adalah perempuan, kerana bapa amat-amatlah diperlukan apabila status sebagai 'cik' mahu ditukarkan kepada 'puan'.

Ayah juga perlu menyedari bahawa dirinya tidak selama-lamanya muda, kerana sudah pasti satu hari nanti diri akan dimakan usia dan memerlukan jagaan si anak.

Benar, rumah penjagaan orang tua telah sedia ada, tetapi bukankah lebih baik jika belaian itu datang daripada anak sendiri, sambil ditemani dengan gelak ketawa cucu cicit.

Bagi yang beragama Islam, sudah tentu kehadiran anak kandung akan dinanti-nantikan apabila nyawa sudah terpisah daripada jasad, kerana doa mereka yang dapat membantu perjalanan di sana.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan