Pegawal Keselamatan Miliki Ganja Dipenjara

Diterbitkan: Jumaat, 27 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, memerintahkan seorang pengawal keselamatan menjalani hukuman penjara selama 10 tahun dan disebat sebanyak 10 kali setelah mengaku bersalah memiliki ganja.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki juga memerintahkan agar Shahrol Hisham Hanafiah, 38, menjalani hukuman tersebut bermula daripada tarikh dia ditangkap, iaitu 12 November 2010.

Pada penghakimannya, Mohtarudin berkata, kebanyakan tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan dadah akan mengemukakan rayuan meringankan hukuman.

"Sedangkan, banyak keluarga lain yang menderita disebabkan oleh dadah," katanya dan menambah, masalah dadah kerap berlaku dan semakin berleluasa.

Shahrol Hisham mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki 266.86 gram ganja di rumah pusaka ibunya di Jalan Rahman Rashim, Kampung Tengah, Lembah Jaya, Ampang, dekat sini pada pukul 3 pagi, 12 November 2010.

Dadah tersebut ditemui di atas rak kabinet belakang di sebelah kiri televisyen dan juga di kotak yang terletak berhampiran dengan meja makan.

Semasa itu, rumah tersebut diserbu oleh pasukan polis yang mendapat maklumat awam, dan tertuduh didakwa cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap.

Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili oleh peguam K. A. Ramu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan