Lelaki Bangladesh Sogok Polis Dipenjara 6 Bulan

Diterbitkan: Jumaat, 27 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh yang menyogok polis sebanyak RM250 ternyata membawa padah apabila dia dihukum penjara enam bulan bermula Khamis.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, M. Bakri Abd Majid juga memerintahkan agar Amir menjelaskan denda RM5,000 atau dipenjara selama enam bulan, jika gagal berbuat demikian.

Amir didakwa memberi wang tunai tersebut kepada Konstabel Rajausad Apol Mansing di Aras 5, Bangunan Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.20 pagi, 19 Mei lalu.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk Rajausad yang bertugas di Batalion Khas KLIA, tidak mengambil tindakan terhadapnya dan dua pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Zakiah Che Man mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada rayuannya, Amir yang juga merupakan seorang PATI memohon agar mahkamah meringankan hukuman terhadapnya.

"Tolong saya, saya ada anak, ada isteri dan ibu," katanya dan menambah sukar untuk mencari nafkah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan