Dua Beradik Peneraju Syarikat Didakwa

Diterbitkan: Rabu, 25 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua beradik yang menerajui syarikat yang terlibat dalam penghasilan papan iklan, imej korporat dan pengurusan acara, Maximum Pacific Sdn Bhd (Maximum Pacific) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tuduhan menipu.

Ahmad Nizam Osman @ Othman, 43, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan adiknya, Ahmad Khusairi, 40, selaku Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Asmadi Husain.

Mereka didakwa menipu Noorun Nizam Marju, 33, pemilik syarikat pembinaan dan pembekalan, Lingkaran Sutera untuk mempercayai bahawa Maximum Pacific boleh memberikan kerja membekal dan memasang 10 unit 'Three Faces Unipole for Advertising and Promotion of International Zakat Organization di lapangan terbang dan bandar kepada syarikat terbabit menerusi surat tawaran bertarikh 3 Julai 2009.

Sedangkan, kedua-dua tertuduh didakwa mengetahui bahawa kerja tersebut tidak diserahkan kepada mana-mana syarikat seperti yang dinyatakan dalam surat tawaran kepada 'The Strategic Billboard Advertising Programme on Exclusive Basis' bertarikh 2 Januari 2009.

Oleh itu, mereka didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan untuk tempoh selama lima tahun dan dengan denda, atau kedua-duanya. Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Sinti menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Haris Salleh Hamzah merayu agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada SPRM sejak siasatan dijalankan pada tahun lalu.

"Jaminan juga hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah. Untuk makluman, tertuduh telah memasukkan deposit sebanyak RM5,000 kepada SPRM dan tidak pernah gagal untuk melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan," katanya.

Asmadi kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 setiap seorang dan menetapkan perbicaraan kes bermula pada 15 Ogos depan.

Muhammad memberitahu, pihaknya akan memanggil 15 orang saksi pada perbicaraan kelak.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan