Dua Anggota Polis Bebas Rasuah

Diterbitkan: Selasa, 24 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis pada Selasa, dapat menarik nafas lega selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memperoleh rasuah bernilai RM400 yang didakwa dilakukan empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozilah Salleh membuat keputusan itu terhadap Lans Koperal Shafiee Yahya, 48, dan Konstabel Mohamad Hafizulizam Suhai, 26, tanpa memanggil mereka untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.

Pada penghakimannya, Rozilah berkata mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azuan Adzhar manakala peguam M. Mathavan mewakili kedua-dua tertuduh.

Sebelum ini, kedua-dua mereka didakwa memperoleh wang suapan tersebut daripada V. Ganeson pada pukul 12.30 tengah hari, 2 Disember 2007.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran kawasan stesen minyak Esso, Batu 3 1/2, Jalan Klang Lama, di sini dan suapan tersebut dikatakan untuk melepas dan membebaskan seorang warga Indonesia, Marlan yang tidak mempunyai pasport dan permit kerja.

Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan