Anggota APMM Ubah Pengakuan Kepada Tidak Bersalah Terhadap Tuduhan Seleweng Petrol

Diterbitkan: Selasa, 24 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengubah pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, terhadap 42 tuduhan pecah amanah melibatkan penyelewengan minyak petrol membabitkan sejumlah RM87,006 di Kuala Kedah dua tahun lalu.

Laskar Kanan Maritim Azman Md Noh, 48, yang sebelum ini mengaku salah terhadap semua tuduhan pada Rabu lepas memberitahu mahkamah bahawa dia akan melantik peguam untuk mengendalikan kesnya itu.

Tertuduh sebagai pegawai pengangkutan kenderaan rasmi Maritim Malaysia, Pangkalan Kuala Kedah, dibekalkan dengan kad minyak Petronas 'smartpay' didakwa melakukan pecah amanah iaitu menggunakan kad minyak itu bagi membeli minyak petrol untuk kepentingan diri.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Stesen Minyak Petronas Imbang Moden Sdn Bhd di Jalan Batas Paip, Kuala Kedah antara 3 Januari 2009 hingga 23 September 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Rosli Osman menetapkan 14 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim dan A. Hafiz Abu Bakar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan