Bekas Pengurus Diperintah Bela Diri Atas Tuduhan Beri Rasuah

Diterbitkan: Isnin, 23 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus jualan kereta import diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, Isnin atas tuduhan memberi suapan RM29,850 kepada seorang penguasa Kastam, tiga tahun lepas. Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Bharim Thani, 40, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 dan 31 Mei untuk sambung bicara.

Mengikut pertuduhan, Bharim, yang kini bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat kawalan keselamatan, didakwa memberi suapan kepada Mohd Yusmi Mohd Yusoff, 46, dari Pejabat Kastam Diraja Malaysia Bahagian Sibu, Sarawak.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana tidak membayar cukai Kastam bagi kenderaan jenis BMW 320i yang didaftarkan atas nama Thani Atan. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel Grand Seasons, No.72 Jalan Pahang, di sini, pada 2.50 petang, 6 September 2008.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan