Pemilik Butik Berjaya Peroleh RM26,793 Daripada Pusat Kecantikan Kerana Melecur

Diterbitkan: Jumaat, 20 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik butik pada Jumaat berjaya memperoleh pampasan berjumlah RM26,793.57 daripada sebuah pusat kecantikan ekoran kecuaian hingga menyebabkan badannya melecur.

Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamaruddin memerintahkan syarikat Slimming Sanctuary Sdn Bhd membayar pampasan tersebut kepada Lim Wah Kiau, 53, setelah tujuh saksi selesai memberi keterangan pada 28 April lalu.

Pada 11 Februari tahun lepas, Lim menuntut sebanyak RM200,000 daripada pusat kecantikan tersebut kerana menyebabkan beliau melecur tahap dua di bahagian tangan, bahu dan belakangnya.

Mengikut pernyataan tuntutan, Lim mendakwa kecederaan itu diakibatkan suhu air yang terlampau panas di dalam tab jakuzi semasa menggunakan kemudahan spa di pusat kecantikan itu pada 31 Disember 2008.

Lim turut mendakwa berikutan kecuaian defendan, terdapat parut yang serius di bahagian yang tercedera serta perlu menjalani rawatan perubatan sehingga sekarang.

Katanya, kos rawatan setakat Mac 2009 adalah berjumlah RM1,793.57.

Bagaimanapun syarikat tersebut menafikan tuduhan itu dengan mendakwa kecederaan yang dialami Lim adalah disebabkan beliau jatuh atau melanggar dinding di bilik mandi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan