Ketua Cabang PKR Bebas Tuduhan Menipu

Diterbitkan: Jumaat, 20 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, melepas dan membebaskan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjung Karang, Mohd Yahya Mat Sahri daripada pertuduhan menipu membabitkan nilai RM50,000 membabitkan Majlis Sambutan 100 Pakatan Rakyat di Selangor, tiga tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan tersebut selepas mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh Mohd Yahya, 45, berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Beliau yang telah membuat penilaian maksimum terhadap keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi juga berpendapat pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Mohd Yahya didakwa menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Datuk Abdul Karim Munisar untuk mempercayai bahawa sekretariat pakatan pembangkang memohon sumbangan bagi membiayai majlis sambutan itu di Gardenia Coffee House, Quality Hotel di sini pada 4 Jun 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu atas kapasitinya sebagai pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan selaku pengarah program acara tersebut dituduh dengan mendorong Abdul Karim untuk menyerahkan RM50,000 sebagai sumbangan, yang tidak akan dilakukannya jika tidak diperdayakan sedemikian.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Roziza Sidek mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan disebat dan boleh juga didenda.

Mohd Yahya yang diwakili oleh peguam-peguam Ahmad Nizam Hamid dan T. Suresh mengemukakan lapan saksi termasuk Ahli Parlimen Seri Setia, Nik Nazmi Nik Mat.

Pihak pendakwaan pula mengemukakan 28 saksi termasuk Abdul Khalid dan ahli mesyuarat EXCO Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Sebaik sahaja keputusan tersebut dibacakan, Mohd Yahya yang memakai baju melayu hijau pucuk pisang dilihat tersenyum dan terus memeluk peguam-peguamnya sambil mengucapkan terima kasih.

Turut berada di mahkamah ialah beberapa penyokong beliau yang turut berpelukan dan mengucapkan tahniah sesama mereka.

Semasa ditemui, Mohd Yahya meluahkan rasa syukur kepada Allah S. W. T kerana memberikan kemudahan dan kemenangan yang dapat membersihkan nama beliau.

"Saya juga mungkin akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang selepas ini, termasuk kepada pihak akhbar yang perlu bersedia, melainkan jika mereka mahu meminta maaf secara besar-besaran," katanya.

Beliau juga memberitahu, tindakan tersebut diambil kerana pertuduhan yang dihadapinya melibatkan nilai yang banyak dan turut menjejaskan keluarganya.

Ditanya tentang perancangannya selepas ini, Mohd Yahya berkata, beliau masih melibatkan diri di dalam bidang politik dan berkhidmat kepada mereka yang memerlukan.

"Selepas dituduh, saya meletakkan jawatan sebagai pegawai khas Menteri Besar kerana itu merupakan prinsip PKR. Jika kita mahu pemimpin untuk bersifat telus, kita juga perlu telus," katanya.

Sementara itu, Ahmad Nizam berkata, pihaknya akan menunggu kata putus daripada Mohd Yahya mengenai tindakan selanjutnya.

"Kes ini bermula dengan satu sidang media dan laporan oleh seseorang yang mendakwa anak guam saya telah menggunakan kepala surat daripada pejabat Menteri Besar untuk mengutip wang tersebut.

"Keputusan hari ini jelas menunjukkan dakwaan tersebut tidak benar dan Mohd Yahya adalah seorang yang berintegriti, amanah dan tidak pernah menyalahgunakan kedudukan beliau.

"Ini adalah satu perancangan untuk menguggat Pakatan Rakyat dengan mengada-adakan cerita," tambahnya. Ini merupakan pembebasan kali kedua MOhd Yahya di mana pada 1 Disember 2010, mahkamah sama melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu Resolusi Pembukaan Akaun untuk Parti Keadilan Rakyat di Maybank Berhad cawangan Bandar Sunway pada 14 Mei 2008 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie ke atas tertuduh.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan