Empat Lelaki Bakar Pondok JKKK Dihadapkan Ke Mahkamah

Diterbitkan: Khamis, 19 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Khamis atas tuduhan membakar Pondok Kawalan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Merak, Simpang Ampat, dekat sini minggu lepas.

M. Parameswaran, 32, M. Gobinath, 30, M. Veran, 23, dan M. Jeganathan, 30, dituduh mencapai niat bersama telah melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan api iaitu minyak petrol dengan niat menyebabkan kemusnahan Pondok Kawalan JKKK yang di dalamnya turut menempatkan Pondok Bit Polis.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Merak 1, Taman Merak, Simpang Ampat, dekat sini kira-kira pukul 11 malam, 9 Mei lepas.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda. Semua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Zairan Aman.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiza Haron menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili semua tertuduh, K. Mangaleswari, memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan itu kerana tertuduh tidak berkemampuan berikutan tiga daripada mereka bekerja sebagai buruh manakala seorang lagi adalah kerani.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang dengan dua penjamin dan menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan