Pegawai TLDM Didakwa Buat Tuntutan Palsu Lebih RM200,000

Diterbitkan: Rabu, 18 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Rabu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan nilai keseluruhan USD63,677.74 (RM235,607.63), lima tahun lepas.

Leftenan Komander Ahmad Syukry Othman, 39, didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai pegawai bekalan Kapal Diraja (KD) Mahawangsa, dituduh mengemukakan invois palsu Landmark Trading Pte Ltd bernilai USD46,813 (RM173,208.10) bertarikh 3 Jun 2006 bagi tuntutan pembelian ransum segar.

Tertuduh juga didakwa mengemukakan invois palsu syarikat sama bernilai USD16,864.17 (RM62,399.53) yang bertarikh 26 Ogos 2006 bagi tuntutan sama.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan memohon ikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun peguam Norhasham Hasan yang mewakili tertuduh merayu supaya jumlah itu dikurangkan kepada RM4,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Norhasham berkata tertuduh yang telah 15 tahun berkhidmat dengan TLDM, memberikan kerjasama baik dalam penyiasatan kes terbabit sejak lima tahun lepas dan kini masih bertugas dalam pasukan itu.

Hakim kemudiannya menetapkan jumlah ikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan