Pendengaran Rayuan Kes Tanah Adat Disambung 16 Jun

Diterbitkan: Isnin, 16 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, Isnin menjadualkan semula tarikh bagi sambungan pendengaran rayuan dua kumpulan masyarakat pribumi di Sarawak yang mencabar penghapusan status Tanah Adat (NCR) di tanah yang diduduki mereka, ke 16 Jun.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, mengetuai panel tiga hakim, menangguhkan pendengaran itu bagi membolehkan Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk J.C. Fong, menyediakan hujahan bertulis bagi menjawab hujahan setebal 56 muka surat dikemukakan para perayu dan juga untuk Fong menjawab afidavit yang difailkan para perayu awal hari ini.

Bersidang bersama-sama Zaki ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Md Raus Sharif.

Fong mewakili kerajaan negeri Sarawak manakala dua kumpulan masyarakat pribumi itu diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan Baru Bian.

Panel itu dijadual mendengar sambungan pendengaran rayuan itu, yang bermula 28 April, hari ini.

Hujahan panjang lebar yang disediakan oleh peguam yang mewakili para perayu melibatkan isu mengenai mekanisme bagi menilai pampasan untuk diberikan kepada masyarakat pribumi berikutan penghapusan status tanah NCR mereka.

Kedua-dua kumpulan itu membabitkan komuniti Dayak daripada etnik Kayan, Kenyah dan Ukit; dan Iban.

Mereka mencabar arahan dikeluarkan Menteri Perancangan dan Sumber Asli Sarawak untuk menghapuskan status tanah NCR di tanah yang telah didiami mereka dan nenek moyang mereka sejak beberapa generasi.

Kumpulan pertama Bato Bagi, Bit Buneng, Siring Angah, Adem Anyie, Jating Ibau dan Ngajang Midin mewakili lima rumah panjang di sepanjang sungai Batang Balui di Daerah Belaga, Kapit, yang terjejas oleh projek pembinaan Empangan Hidro Elektrik Bakun. Mereka enggan berpindah ke Skim Penempatan Semula Asap dan terus tinggal di kawasan hulu Batang Balui.

Kumpulan kedua iaitu Jalang ak Paran dan Kampong anak Amih, ialah penghuni Rumah Munggu, rumah panjang di Tatau, Bintulu, Sarawak. Tanah mereka Ulu Batang Tatau diambil untuk pembinaan sebuah kilang papan.

Mereka dan keluarga masing-masing terus tinggal di tanah itu. Sehingga kini, tiada kilang papan dibina di tapak yang dicadangkan dan kawasan tersebut kembali menjadi hutan.

Kumpulan pribumi itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang membatalkan saman mereka berhubung satu isu undang-undang, sebelum Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa arahan menteri adalah sah.

Mereka meminta kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan