Syarikat Lombong Bijih Timah Dibenar Cabar Keputusan Exco Selangor

Diterbitkan: Sabtu, 14 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sebuah syarikat perlombongan bijih timah, KL Larut Sdn Bhd (KL Larut) pada Jumaat, memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan prosiding bagi mencabar kerajaan Negeri Selangor berhubung isu pembaharuan pajakan melombong di atas tanah seluas 416.8 hektar di Kuala Selangor, dekat sini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Zaki Husin membenarkan permohonan KL Larut untuk memulakan prosiding semakan kehakiman yang difailkan syarikat tersebut pada 3 Mei lalu dengan menamakan tiga responden, iaitu Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pentadbir Tanah, Daerah Kuala Selangor dan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Ahmad Zaki memberikan kebenaran untuk tiga permohonan yang difailkan oleh KL Larut, iaitu bagi mendapatkan perintah untuk membatalkan dan mengenepikan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) pada 6 Oktober 2010 yang menolak permohonan pembaharuan pajakan lombong yang dimohon oleh syarikat terbabit.

Selain itu, kebenaran juga diberikan untuk permohonan KL Larut bagi mendapatkan perintah untuk mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor selaku responden pertama untuk meluluskan permohonan pembaharuan tersebut untuk tempoh selama 10 tahun.

Turut dibenarkan ialah permohonan KL Larut untuk mendapatkan perintah yang mengumumkan bahawa pemohon adalah lebih berhak berbanding pihak berkuasa negeri kepada tanah yang dirujuk di bawah pajakan melombong tersebut.

Ahmad Zaki seterusnya menetapkan permohonan tersebut didengar pada 28 Jun depan.

Pada prosiding itu, KL Larut diwakili oleh peguam K. Saraswathy.

KL Larut yang beralamat di Taman Klang Jaya, dekat sini mendakwa pihak berkuasa Negeri Selangor telah meluluskan permohonan mereka untuk melombong di tanah tersebut pada 20 Oktober 1999 dan pajakan tersebut berkuatkuasa pada 21 Julai 2000 dan berakhir pada 20 Julai 2010.

Pemohon seterusnya mendakwa, pihaknya telah memohon untuk memperbaharui pajakan lombong tersebut pada 14 Julai 2009, iaitu 12 bulan sebelum tempoh pajakan lombong tersebut tamat.

Dakwanya lagi, berdasarkan Seksyen 66(5) Enakmen Mineral Selangor 2000, responden pertama hendaklah meluluskan pajakan lombong itu dalam masa enam bulan tarikh permohonan pembaharuan dan dalam kes ini, ia mestilah diluluskan pada 14 Januari 2010 kerana di bawah enakmen tersebut, pemohon sebagai pemegang pajakan semasa berhak secara asas untuk pembaharuan itu.

Bagaimanapun, pemohon mendakwa responden telah bukan sahaja tidak meluluskan permohonan mereka, tetapi telah juga membawa permohonan tersebut kepada EXCO yang kemudiannya menolak permohonan itu dalam mesyuarat yang diadakan pada 26 Oktober 2010.

Seterusnya, pemohon mendakwa semasa permohonan mereka masih dalam pertimbangan, 'Mesyuarat STANCO Tanah' yang diadakan pada 24 September 2010 telah meluluskan permohonan Kumpulan Semesta untuk mengeluarkan timbunan pasir daripada sebahagian tanah tersebut.

Sehubungan itu, pemohon mendakwa penolakan permohonan pemohon untuk pembaharuan pajakan lombong oleh EXCO Selangor adalah ultra virus (melampaui batasan undang-undang) dan melanggari Seksyen 66 Enakmen Mineral Selangor 2000.

Pemohon juga mendakwa, keputusan Mesyuarat STANCO Tanah yang membenarkan permohonan Kumpulan Semesta adalah tidak sah dan tindakan oleh EXCO Selangor dan responden-responden adalah berat sebelah, berniat jahat dan terbatal ekoran telah melanggari undang-undang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan