Anuar Zain Bercadang Ambil Tindakan Menghina Mahkamah

Diterbitkan: Khamis, 12 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Anuar Zain sedang berkira-kira untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap pihak yang terlibat dalam prosiding tafsiran ganti rugi royalti tertunggak yang melibatkan syarikat rakaman lamanya, Synchrosound Records Label Music Sdn Bhd (Synchrosond).

Peguam yang mewakili penyanyi lagu Sedetik Lebih itu, Aizul Rohan Anuar yang ditemui selepas menghadiri prosiding pada Selasa, bagaimanapun enggan menyatakan secara terperinci pihak yang bakal dinamakan dalam tindakan tersebut.

Menurut beliau, permohonan tersebut bakal dibuat atas alasan berlaku percanggahan dalam isu berhubung dokumen yang dikemukakan sepanjang prosiding berlangsung.

“Pada prosiding lalu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Prasad Sandosham Abraham, pihak terbabit mengatakan mereka tidak mempunyai dokumen kerana syarikat itu telah ditutup.

“Bagaimanapun, hari ini mereka mengemukakan dokumen setebal 195 muka surat yang jelas bertentangan dengan apa yang dikatakan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Annuar Zain, 41, juga meluahkan rasa kecewa atas percanggahan tersebut dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang ‘tidak beretika’.

“Sebelum ini kata lain dan sekarang cakap lain. Apa sebenarnya pendirian mereka? Itu tidak adil dan membuang masa saya, peguam dan mahkamah.

“Saya tidak mahu menghakimi orang tetapi perkara ini serius dan mereka telah menyebabkan saya membuat penilaian bahawa mereka tidak serius dalam hal ini” katanya.

Sementara itu, prosiding tafsiran ganti rugi yang dijalankan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Nazdia Abdul Aziz menyaksikan akauntan Synchrosound, K. Kandepan memberi keterangan.

Ditanya mengenai perkembangan prosiding tersebut, Aizul Rohan berkata, mahkamah telah menetapkan 19 Mei ini sebagai tarikh seterusnya ekoran berlaku pertambahan dokumen yang perlu disahkan oleh Annuar.

“Dokumen asal yang diserahkan hanya mengandungi 181 halaman, tetapi hari ini saya lihat ada lebih 195 muka surat.

“Selain itu, pihak-pihak juga akan berhujah mengenai isu sama ada Synchrosound berhak untuk membuat penolakan kos terhadap Annuar kerana isu itu tidak pernah ditimbulkan dalam pernyataan tuntutan balas mereka sebelum ini,” kata Aizul Rohan.

Pada prosiding itu, Synchrosound diwakili oleh peguam S. Malar.

Pada 14 Mei tahun lalu, Anuar yang juga adik kepada penyanyi tersohor, Ziana Zain berjaya dalam kes tuntutan saman balas bagi menuntut bayaran royalti daripada Syncrosound.

Keputusan tersebut dibuat oleh Prasad Sandosham yang turut memerintahkan Synchrosound membayar kos dan faedah sebanyak lapan peratus ke atas jumlah royalti setahun bermula Jun 2006 kepada Anuar.

Penyanyi itu memfailkan tuntutan balas dan pembelaan pada 20 Jun 2006 setelah beliau di saman oleh Synchrosound pada 21 April tahun yang sama.

Synchrosound dalam samannya, mendakwa penyanyi itu memungkiri perjanjian apabila menamatkan kontrak tanpa merakamkan tiga buah album lagi dengan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, pada 27 Disember 2007, Penolong Kanan Pendaftar, Siti Aishah Ab. Rashid telah membatalkan tuntutan Synchrosound tersebut.

Dalam tuntutan balasnya, Anuar mendakwa, beliau dan Synchrosound seharusnya merakam dan mengeluarkan sebuah album sahaja tetapi syarikat itu telah melibatkannya dalam lebih daripada dua buah album.

Bagaimanapun, dakwanya, syarikat itu tidak pernah memberikan sebarang butiran atau penyata mengenai penjualan album-album tersebut seperti yang dikehendaki dalam perjanjian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan