Adik Bekas Pengarah Perbadanan Putrajaya Dipenjara 15 Hari, Denda RM315,000

Diterbitkan: Rabu, 4 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, menjatuhkan hukuman penjara 15 hari dan denda RM315, 000 terhadap adik kepada bekas pengarah Perbadanan Putrajaya, Datuk Shahoran Johan Ariffin selepas disabitkan bersalah atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM63,000.

Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan supaya hukuman penjara terhadap Azizi Johan Ariffin, 54, yang didakwa melakukan kesalahan tersebut enam tahun lalu ditambah 30 bulan, jika gagal menjelaskan denda.

Mat Ghani yang memberitahu hukuman diberikan atas dasar kemanusiaan bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menggantung pelaksanaan hukuman kerana mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagi tujuan itu, Mat Ghani menetapkan syarat supaya notis rayuan difailkan hari ini manakala jaminan tertuduh RM10,000 sebelum ini dinaikkan kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.

Azizi yang pernah menjawat jawatan sebagai pengarah di sebuah syarikat lanskap didakwa menerima suapan tersebut dalam bentuk wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad miliknya daripada Pengarah Sekitar Indah Sdn Bhd, Mohd Kamil Sapuan.

Suapan itu didakwa sebagai upah membantu mendapatkan kelulusan tender 'Kerja-Kerja Penyelenggaraan Lanskap di Persiaran Putrajaya, Persiaran Utara, Persiaran Barat, Lebuh Sentosa (Jambatan Seri Saujana)Lebuh Wawasan (Jambatan Seri Wawasan), Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk Perbadanan Putrajaya kepada syarikat Timeless Construction Sdn. Bhd.

Sedangkan, syarikat Sekitar Indah telah menjadi sub kontraktor kepada Timeless Construction Sdn. Bhd.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 26 Januari 2006 dan 9 November 2006 di Affin Bank Berhad di Desa Jaya Kepong dekat sini.

Terdahulu, peguam Ridzuan Johan Ariffin merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap adiknya yang dikatakan menghidap sakit tulang belakang dan paru-paru yang serius.

"Persekitaran di penjara tidak akan membantu keadaan kesihatan tertuduh yang kerap dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan.

"Buat masa ini, tertuduh tinggal bersama kakaknya selepas dia tidak diterima oleh isterinya.

"Tertuduh kini bekerja sebagai jurujual di Pasar Moden Seksyen 6, di sini dengan pendapatan sebanyak RM300 hingga RM600 sebulan, selain menerima pencen sebanyak RM200," katanya. Ridzuan menambah, tertuduh berkerja keras untuk membayar pinjaman perumahan manakala kereta miliknya telah ditarik.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Josiendra Abu Senin berkata, walaupun beliau bersimpati dengan nasib tertuduh, perkara itu adalah di luar bidang kuasanya.

"Dakwaan tertuduh tentang sakit tulang belakang juga tidak disertakan dengan bukti seperti laporan hospital. Jika tertuduh dihukum penjara sekalipun, sudah pastilah dia akan menerima rawatan yang diperlukan,"katanya.

Mohd Josiendra juga membidas dakwaan Ridzuan yang mengatakan SPRM telah menolak permohonan tertuduh yang bersedia untuk mengaku salah sebanyak dua kali.

"Pihak kami menolak pengakuan salah tertuduh kerana ia dibuat secara bersyarat. Pihak SPRM tidak pernah menolak sekiranya mana-mana tertuduh bersedia untuk mengaku bersalah," kata Mohd Josiendra.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan