Bunuh Teman Wanita: Pemandu Lori Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati

Diterbitkan: Khamis, 28 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang pemandu lori pada Khamis dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah membunuh teman wanitanya kira-kira dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tertuduh Mohd Adnan Abdul Karim, 29, telah melakukan kesalahan tersebut dan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.

Beliau berkata ketika membela diri, tertuduh tidak menafikan melakukan kecederaan kepada si mati tetapi mendakwa tiada niat untuk membunuh si mati. Katanya berdasarkan keterangan saksi mengenai kecederaan si mati, tertuduh ada niat menyebabkan kematian dengan mendatangkan kecederaan dan walaupun mungkin tiada niat menyebabkan kematian, tertuduh tahu kecederaan itu boleh menyebabkan kematian kepada mangsa.

"Berdasarkan kecederaan, ia tidak berasaskan kepada hak membela diri atau provokasi mendesak oleh si mati," katanya.

Mohd Zaki berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan mahkamah mensabitkan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dengan satu-satunya hukuman adalah hukuman mati.

Mohd Adnan dari Simpang Ampat, Pulau Pinang didakwa melakukan pembunuhan terhadap Nur Bahirah Ishak, yang ketika kejadian berusia 22 tahun, antara 10.30 pagi hingga 10.45 pagi di No. 157, Lorong Perak 2, Taman Perak, Kulim pada 17 Mei 2009.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim manakala tertuduh diwakili peguam K. Pathmanathan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan