10 Mei Pendengaran Semakan Kehakiman Zunar, MalaysiaKini Terhadap KDN

Diterbitkan: Rabu, 27 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh kartunis, Zunar dan sebuah portal web berita, Malaysiakini bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengharamkan dua buku kompilasi karya kartun akan didengar pada 10 Mei depan.

Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu pada Rabu, bagi membolehkan kedua-dua pihak dalam semakan tersebut meneliti afidavit yang telah difailkan.

Zunar atau nama sebenarnya, Zuliflee SM Anwarul Haque dan MKINI Dotcom Sdn Bhd, yang mengendalikan MalaysiaKini dan syarikat penerbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd memfailkan permohonan itu pada 26 Julai 2010.

Permohonan tersebut difailkan ekoran keputusan KDN mengharamkan buku berjudul '1 Funny Malaysia' dan 'Perak Darul Kartun'.

1 Funny Malaysia yang diterbitkan pada November 2009 merupakan kompilasi kartun oleh Zunar, dan hampir kesemua kartun tersebut pernah disiarkan di ruangan Cartoonkini di laman web Malaysiakini daripada Oktober 2006 hingga November 2009.

Manakala penerbitan buku 'Perak Darul Kartun' juga pada November 2009 menghimpunkan kartun politik pelbagai artis di bawah pimpinan Zunar.

Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop sebagai responden dalam permohonan tersebut.

Kedua-dua mereka mendakwa, Abu Seman bagi pihak Hishamuddin telah mengeluarkan perintah melarang penerbitan, produksi, penjualan, pengedaran atau pemilikan dua buku itu atas alasan ianya memudaratkan ketenteraman awam pada 25 Mei 2010.

Dakwanya lagi, buku itu menikmati jualan laris dengan sejumlah 4,000 salinan dicetak dan dengan pengharaman itu, pihak pemohon tidak mampu menjual baki buku dan sehubungan itu menuntut ganti rugi khas sebanyak RM17,320.

MKINI mendakwa mereka tidak diberi peluang memberi pandangan sebelum pihak responden membuat keputusan itu walaupun meminta agar diberi peluang untuk berbuat demikian apabila polis dan pegawai KDN merampas buku-buku tersebut pada antara Januari dan Februari 2010.

Ia mendakwa kartun dalam buku itu telah diterbitkan di laman web tersebut lebih dua tahun dan buku tersebut telah berada dalam pasaran selama tiga bulan sebelum dirampas.

Manakala Sepakat Efektif mendakwa buku 'Perak Darul Kartun' berada dalam pasaran kira-kira enam bulan sejak November 2009 dan mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai buku itu mengancam ketenteram awam.

Syarikat itu berkata buku itu menikmati jualan laris dengan lebih 11,500 salinan dicetak.

Berikutan pengharaman itu, pemohon gagal menjual baki buku itu dan menuntut ganti rugi khas sebanyak RM115,000 sebagai nilai harga buku yang tidak dapat dijual.

Antara lain, mereka menuntut perintah membatalkan pengharaman buku itu dengan alasan pengharaman itu tidak sah kerana bersifat 'ultra vires' (tidak dalam bidang kuasa) di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Mereka juga berkata tindakan KDN itu dicabar atas alasan ia tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Artikel 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan