Lima Bekas Penuntut Universiti Dapat Kebenaran Untuk Merayu

Diterbitkan: Selasa, 26 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Lima bekas penuntut universiti berjaya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan di sini Selasa untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang mensabitkan dan mendenda mereka, masing-masing RM3,900 atau tiga bulan penjara kerana kesalahan menyertai perhimpunan haram 10 tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada dua Hakim Mahkamah Rayuan Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Mohamed Apandi Ali dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim sebulat suara memberikan kebenaran untuk merayu kepada Nik Norhafizi Nik Ibrahim, 31, Zulkefli Idris, 31, Ahmad Kamal Abdul Hamid, 30, Rafzan Ramli, 34, dan Khairul Amal Mahmud, 31.

Panel itu akan menentukan satu persoalan undang-undang mengenai sama ada Seksyen 27 (2) dibaca bersama-sama Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 adalah batal kerana bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan berdasarkan keputusan terkini Mahkamah Persekutuan dalam kes Lee Kwan Woh lwn Pendakwa Raya dan kes Sivarasa Rasiah lwn Badan Peguam Malaysia.

Seksyen 27 (2) menetapkan bahawa adalah disyaratkan bagi mana-mana kumpulan untuk mendapatkan lesen untuk berhimpun dan Seksyen 27 (5) menyatakan adalah menjadi satu kesalahan untuk berhimpun tanpa lesen. Sementara Perkara 10 (1) (b) menyatakan semua warganegara mempunyai hak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata.

Pada 18 Jun, 2009, Mahkamah Majistret mendapati kelima-lima mereka bersalah menyertai perhimpunan haram di perkarangan Masjid Negara antara 2 petang dan 2.15 petang pada 8 Jun, 2001.

Kelima-lima mereka telah menyertai protes terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri dan telah ditahan dalam lokap balai polis Tun H S Lee semalaman berikutan penahanan mereka.

Pada 27 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi menolak rayuan mereka dan mengekalkan sabitan dan denda yang dikenakan ke atas mereka oleh Mahkamah Majistret.

Mereka diwakili peguam Edmund Bon dan Amer Hamzah Arshad manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Abdul Rahman. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan