Jurusolek Dihukum Minta Dan Terima Rasuah Kononnya Untuk Pegawai Polis

Diterbitkan: Jumaat, 22 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang jurusolek pada Jumaat dipenjara 18 bulan dan didenda RM500,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM50,000 daripada seorang wanita kononnya bagi pihak seorang pegawai kanan polis Selangor.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu terhadap Ong Lai Fong atau Nur Hidayah Jasmin Abdullah, 38, dari Shah Alam.

"Selepas meneliti segala keterangan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan serta hujahan, mahkamah mendapati tertuduh bersalah seperti pertuduhan," kata hakim Balqis Aini.

Bagi tuduhan pertama, Ong dikenakan hukuman penjara 18 bulan dan didenda RM250,000 kerana kesalahan meminta RM50,000 daripada seorang ahli perniagaan, Yeow Wai Yee yang kononnya bagi pihak Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ketika itu, SAC II Abu Bakar Mustaffa, sebagai dorongan bagi membebaskan suami Yeow, Chung Siew Ling, yang ditahan dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Bagi tuduhan kedua, Ong turut dikenakan penjara 18 bulan dan denda RM250,000 kerana kesalahan menerima RM50,000 daripada Yeow bagi tujuan sama di sebuah restoran makanan segera di Bandar One Utama di sini pada 7 dan 10 Jun 2004.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak yang berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman pemenjaraan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Tinggi dan tertuduh perlu membayar jumlah denda itu.

Peguam bela, Datuk Naran Singh, merayu kepada mahkamah agar Ong dikenakan hukuman yang ringan memandangkan anak guamnya itu kini adalah ibu tunggal dan perlu menyara anak berumur 14 tahun.

Beliau berkata anak guamnya itu sentiasa memberi kerjasama kepada mahkamah dengan sentiasa menghadiri setiap prosiding.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Mohd Ahsan Abdul Latif, berkata mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan kes rasuah adalah sesuatu yang serius. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan