Prosiding Berlangsung Tanpa Kehadiran Benjy

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes dadah pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, berlangsung tanpa kehadirannya yang telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Pakar Damansara, dekat sini kerana asma.

Ibunya, seniwati Azean Irdawaty yang dihubungi oleh mStar Online memberitahu, Benjy dimasukkan ke ICU pada malam Rabu, ekoran keadaannya yang semakin teruk sehingga tidak boleh bernafas.

Berita kesihatan pelakon Kerana cintaku Saerah tersebut dimaklumkan kepada Majistret Hafizza Sauni oleh peguam Benjy, Amer Hamzah Arshad sebaik sahaja prosiding mahkamah bermula pada Khamis.

“Bagaimanapun saya mendapat arahan daripada anak guam untuk meneruskan perbicaraan dengan memanggil saksi-saksi formal,” kata Amer Hamzah.

Selain itu, Seksyen 264 Kanun Acara Jenayah juga membenarkan sesuatu perbicaraan dijalankan tanpa kehadiran tertuduh yang boleh diwakili oleh peguam.

Hafizza membenarkan perbicaraan diteruskan dan tiga saksi dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk ahli kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Maimonah Sulaiman.

Maimonah, 51, selaku saksi pendakwaan keempat memberitahu bahawa tiga ujian yang dilakukannya mengesahkan bahawa dua bahan kristal yang diterima daripada pegawai penyiasat adalah positif syabu.

Menurut beliau, ujian tersebut dibuat pada 15 dan 16 Mac 2010, iaitu selang empat hari selepas Benjy ditangkap.

Dua lagi saksi ialah jurugambar dan penjaga stor yang bertugas di Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Lans Koperal Ahmad Zafri Mat Nor, 42, dan Detektif Mohd Fendi Nordin, 35 tahun.

Benjy, 33, dibicarakan atas tuduhan memiliki syabu seberat 0.14 gram di rumah beralamat C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Kepong Baru di sini pada pukul 3 petang, 11 Mac 2010.

Dia juga didakwa memiliki 0.24 gram dadah sama pada pukul 4 petang, hari yang sama di rumah nombor A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B, Off Jalan Segambut, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat dan Noormawarni Abdul Halim.

Perbicaraan bersambung pada 11 Mei depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan