Dua Pemuda Terlepas Tuduhan Bunuh Naib Pengerusi Pemuda MCA Padang Serai

Diterbitkan: Ahad, 17 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Dua pemuda pada Ahad dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar atas tuduhan membunuh naib pengerusi Pemuda MCA Padang Serai, Ching Eng Wah, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu ke atas Abdul Nirwan Abdul Aziz, 31, dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang dan Mohamad Zalmizi Hasim, 27, dari Bachok, Kelantan, tanpa perlu dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam penghakimannya, Zakiah berkata pihak pendakwaan gagal memanggil dua saksi penting dan tiada saksi yang benar-benar melihat pembunuh dan pistol yang dijadikan barang kes tidak berfungsi.

Eng Wah, 43, ditembak di kepala semasa memberhentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat jalan Lunas/Padang Serai semasa dalam perjalanan pulang selepas bersarapan bersama isterinya, Low Mui Keow pada 17 Ogos 2007.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Nirwan dan Mohamad Zalmizi secara bersama dituduh melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian Ching Eng Wah dengan melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol di persimpangan lampu isyarat jalan Lunas/Padang Serai kira-kira 8.50 pagi 17 Ogos 2007.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama, iaitu hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Dalam kes ini, pistol yang ditemui di rumah seorang saksi berkarat menyebabkan tembakan ujian tidak dapat dijalankan manakala isteri mangsa tidak melihat dengan jelas (wajah) pembunuh.

"Walaupun isteri mangsa dapat mengecam pembunuh melalui kawat cam, namun ia hanya atas rasa syak yang kuat dan tidak boleh dijadikan keterangan atau bukti di mahkamah," kata Zakiah.

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing mempunyai seorang anak perempuan semasa ditemui di luar mahkamah selepas dibebaskan bersyukur dengan keputusan itu namun masih menutup sebahagian muka mereka.

Abdul Nirwan berkata beliau akan mengadakan majlis khenduri kesyukuran manakala Mohamad Zalmizi akan pulang ke Bachok malam ini untuk menemui keluarganya.

Mereka diwakili peguam Noran Singh dan Ai Cha Ran manakala Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Mohd Nor mengendalikan kes. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan