Kes AminulRasyid: Dua Das Tembakan Tidak Cukup Untuk Hentikan Kereta

Diterbitkan: Jumaat, 15 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Koperal Jenain Subi menafikan satu atau dua das tembakan sahaja sudah mencukupi untuk menghentikan kereta yang dipandu oleh pelajar, AminulRasyid Amzah.

Anggota polis yang telah berkhidmat selama 26 tahun itu juga tidak bersetuju bahawa tembakan tersebut sudah pasti akan mengenai kereta Proton Iswara BET 5023 yang dinaiki oleh AminulRasyid bersama rakannya, Mohd Azamuddin Omar.

"Saya juga tidak bersetuju bahawa saya tidak ada masalah untuk menembak kepala mangsa," katanya yang disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani pada Jumaat.

Pada keteranganya di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, Jenain mengakui bahawa dia adalah seorang penembak yang mahir.

Dia juga memberitahu, dia tidak dapat melihat pemandu kereta Iswara tersebut semasa kereta peronda polis yang dinaikinya bersama pemandu, Konstabel Mohd Hafizd Mohd Yusof mengejar kereta itu.

Bapa kepada empat orang anak itu juga tidak bersetuju bahawa kereta Iswara tersebut tidak berhenti kerana mereka yang berada di dalam kereta itu tidak mendengar bunyi tembakan ekoran keadaan tingkap kereta yang ditutup.

Menurut Jenain, siren kereta polis juga boleh didengar dalam keadaan tingkap ditutup, meskipun ia akan sedikit perlahan.

Walaupun mendakwa rakan sejawatnya, Konstabel Mohd Izham Mahayadin berbohong semasa memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan, Jenain mengakui hubungan mereka adalah baik.

"Hubungan saya dengan Mohd Izham adalah rapat, saya dan Mohd Hafizd amat rapat manakala hubungan saya dengan Koperal Azhar Hashim (yang memandu sebuah lagi kereta peronda) lagi rapat.

"Semuanya rakan baik saya walaupun selepas saya dituduh di mahkamah. Saya tidak bersetuju mereka mahu mengenakan saya," katanya.

Sementara itu, cubaan Idham untuk mengemukakan laporan polis yang dibuat oleh Jenain mengenai kejadian itu dibantah oleh peguam M. Athimulan kerana dokumen tersebut tidak pernah dikemukakan pada peringkat awal perbicaraan.

Laporan polis itu dibuat kira-kira lapan jam selepas kejadian, iaitu pada pukul 10.40 pagi, 26 April 2010 di Ibu Pejabat Polis di sini.

Idham bagaimanapun memberitahu, pihaknya tidak berhasrat untuk mengemukakan dokumen itu di peringkat awal, tetapi perlu berbuat demikian di saat ini bagi menunjukkan Jenain memberikan keterangan yang bercanggah daripada laporan polisnya.

Athimulan membalas, tindakan itu tidak adil kepada pembelaan selain Seksyen 113 (1) Kanun Acara Jenayah menyatakan laporan polis tidak boleh digunakan di mahkamah sebagai keterangan walaupun untuk tujuan mencabar kredibiliti seorang saksi.

Ekoran bantahan itu, Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan 23 Mei ini untuk kedua-dua pihak berhujah mengenai isu tersebut sebelum perbicaraan disambung pada 2 dan 3 Jun depan.

Jenain sedang membela diri atas pertuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, yang didakwa dilakukannya antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April 2010.

Jika disabitkan bersalah, Jenain boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan