Keluarga Teoh Ditemu Bual Tiga Pakar Psikiatri Secara Tertutup

Diterbitkan: Jumaat, 15 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keluarga mendiang Teoh Beng Hock pada Jumaat ditemu bual tiga pakar psikiatri secara tertutup di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Anggota keluarga mendiang yang hadir dengan ditemani peguam Gobind Singh Deo ialah ibu dan bapa Teoh iaitu Teng Shuw Hor dan Leong Hwee serta abang dan adik perempuannya, Meng Kee dan Lee Lan.

Pakar psikiatri terbabit ialah perunding forensik psikiatri Hospital Permai Johor Dr Bada'iah Yahya, perunding psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Nor Hayati Ali dan Dr Paul Mullen dari Melbourne, yang dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Peguam.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen membenarkan temu bual itu diadakan bagi mengenal pasti sifat dan sikap mendiang sebelum kematiannya.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan negeri Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya siasatan itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan