Ahli Perniagaan Didakwa Cabul Bekas Isteri

Diterbitkan: Isnin, 11 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SELAYANG: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul bekas isterinya.

Selain itu, tertuduh yang berusia 45 tahun juga memberikan pengakuan yang sama terhadap dua pertuduhan mencederakan bekas isterinya dan anak perempuan mereka yang didakwa dilakukan semasa dia dan mangsa masih bersama sebagai suami isteri.

Tertuduh didakwa mencabul mangsa yang berusia 41 tahun pada pukul 6 petang, 21 Jun 2009 di sebuah premis yang terletak di Kampung Nakhoda, Batu Caves, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan mencederakan mangsa dan anak perempuannya yang berusia 16 tahun pula didakwa dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Gombak antara pukul 9.30 dan 9.50 malam, 29 April 2008.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 323 kanun yang sama iaitu penjara sehingga tempoh yang tidak melebihi 10 tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayah Raihan Md Nasir manakala tertuduh tidak diwakili peguam pada prosiding itu.

Majistret Nurul Hafizah Kamaludin membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Mei depan.

Nurul Hafizah juga menetapkan syarat tambahan kepada tertuduh, iaitu dia diwajibkan untuk melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang untuk menghampiri kedua-dua mangsa.

Difahamkam, ayah tertuduh berada di mahkamah dan berhasrat untuk menjelaskan jaminan yang telah ditetapkan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan