Lapan Pegawai Imigresen Dituduh Peroleh Rasuah RM122,140

Diterbitkan: Khamis, 7 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Lapan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia termasuk seorang wanita dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen berbeza di sini pada Khamis, atas pertuduhan memperoleh rasuah berjumlah RM122,140 sebagai upah memudahkan urusan kemasukan warganegara Indonesia ke negara ini.

Semua tertuduh merupakan Pegawai Imigresen KP17 yang bertugas di Bahagian Perkapalan, Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang, dekat sini secara keseluruhan menghadapi 82 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Tertuduh yang tiba di mahkamah dengan diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

Seorang tertuduh, Md Shahrizal Che Dan, 26, didakwa atas 31 pertuduhan memperoleh rasuah bernilai RM51,760 daripada seorang ejen perantaraan, Khairulshah Hosnie antara 20 April dan 16 Jun 2010.

Semua wang tersebut didakwa dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank Public Bank di empat cawangan yang berbeza di Klang, iaitu Pelabuhan Klang, Taman Seri Sentosa, Bandar Bukit Tinggi dan Klang.

Hakim Asmadi Hussain membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Sinti agar tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selepas peguam S.P Raman tidak membantah jumlah tersebut kerana merasakan ia berpatutan dengan jumlah pertuduhan yang dihadapi.

Pada prosiding sama, rakan sejawat Md Shahrizal, Nor Shahazilna Sulaiman, 25, didakwa memperoleh rasuah wang tunai RM2,900 daripada orang perantaraan, Ahmad Zamri Mohammad Hussin.

Wanita terbabit yang berasal dari Petaling Jaya, dekat sini didakwa melakukan kesalahan itu pada antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam, 29 Ogos 2010 di Maybank cawangan Pandamaran, Klang.

Asmadi membenarkan anak guam kepada peguam Wan Shahrizal Wan Ladin itu dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dan menetapkan sebutan semula kedua-dua kes pada 5 Mei ini.

Sementara itu, pada prosiding di hadapan Hakim M. Bakri Abd Majid, Mohamad Izuwanshah Samsuri, 25, mengaku tidak bersalah terhadap 25 pertuduhan memperoleh rasuah bernilai RM31,690.

Tertuduh yang berasal dari Kota Kemuning, di sini didakwa memperoleh rasuah itu antara 21 April dan 17 Jun 2010, di dua tempat berbeza iaitu Bank CIMB cawangan Pelabuhan Klang dan stesen minyak Petronas, Jalan Pandangan, Klang.

Mohamad Izuwanshah merayu agar jumlah jaminan RM10,000 yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan dapat dikurangkan kepada RM2,000 kerana dia baru dikuniakan seorang cahaya mata pada 9 Februari lalu.

"Saya juga baru kembali bekerja kerana bercuti tanpa gaji sebelum ini," tambahnya. Bagaimanapun, M. Bakri tidak membenarkan permohonan tersebut kerana beranggapan jumlah jaminan yang ditawarkan itu adalah berpatutan dengan jumlah pertuduhan terlibat.

Seorang lagi tertuduh, Mohamad Huzzail Ahmad, 31, yang berasal dari Kepala Batas, Kedah pula menghadapi satu pertuduhan melakukan kesalahan yang sama pada pukul 12 tengah malam, 25 September 2010.

Dia didakwa memperoleh rasuah wang tunai RM500 daripada Shahfie Rezami Hosnie di hadapan rumah nombor 130, Persiaran Seraya, Taman Palm Grove, Klang.

M. Bakri menetapkan jaminan tertuduh sebanyak RM4,000 dan sebutan semula kes akan diadakan pada 27 April ini untuk memberi peluang kepada kedua-dua mereka melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai-Pegawai Pendakwa SPRM, Azuan Adzhar dan Mohamad Sukri Abu Seman.

Seorang lagi tertuduh, Ahmad Zahed Abd Alim, 28, pula menghadapi 12 pertuduhan memperolehi rasuah berjumlah RM13,590 yang dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 26 Julai dan 30 September 2010 di dua cawangan bank Maybank iaitu Bukit Tinggi dan Pelabuhan Klang.

Dalam usaha mengurangkan jaminan RM10,00 yang ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ng Siew Wee, peguam Lim Kon Keen memberitahu, tertuduh menanggung isteri dan seorang anak dengan pendapatan sebanyak RM890 sebulan.

Mat Ghani selepas mempertimbangkan rayuan tersebut, membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Mohd Hafiz Zakaria, 27, didakwa atas empat pertuduhan memperoleh rasuah bernilai RM8,640 daripada orang perantara, Hafeezal Hafiz Zainul Abdidin, Mohd Firdaus Abdul Razak dan Ahmad Hafiz Junaidi.

Mohd Hafiz yang merupakan anak jati Pelabuhan Klang didakwa melakukan kesalahan itu antara 25 September dan 30 September 2010 di tiga lokasi berlainan, iaitu Bank CIMB Pelabuhan Klang, Bank EON Pelabuhan Klang dan di tingkat satu, Kuartes Imigresen, Pandamaran, Klang.

Peguam Amir Khusyairi Mohd Tanusi merayu agar mahkamah mengurangkan jaminan yang ditawarkan oleh Ng atas alasan tertuduh yang telah berkhidmat selama empat tahun memperoleh gaji sebanyak RM900 sebulan.

Rakan sejawat tertuduh, Mohd Khairul Haqimie Kamarudin, 26, pula didakwa memperoleh rasuah RM7,350 menerusi tiga pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 28 Ogos dan 28 September 2010.

Dia didakwa memperolehi rasuah itu daripada pemilik feri, Suhaimi Basri menerusi orang perantaraan, Azizul Hakim Salehuddin yang dimasukkan ke dalam akaun bank Maybank di Bukit Tinggi, Klang.

Tertuduh yang sedang menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda dalam bidang pentadbiran korporat di sebuah institusi pengajian awam juga didakwa memperoleh wang tersebut secara tunai di hadapan Restoran Moden, Simpang Kudrat, Klang.

Terakhir, Azmir Mahadi, 28, yang berasal dari Melaka didakwa memperoleh rasuah berjumlah RM5,710 dalam lima kejadian berbeza antara 15 Ogos dan 22 Ogos 2010 di Affin Bank Pelabuhan Klang dan stesen minyak Shell Pelabuhan Klang, Klang.

Pada prosiding itu, Azmir yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik diwakili oleh peguam-peguam Wan Shahrizal dan Halim Ashgar.

Mat Ghani membenarkan Abdul Hafiz, Mohd Khairul Haqimie dan Azmir dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes itu disebut semula pada Jumaat untuk pengurusan kes.

Pendakwaan terhadap semua tertuduh dikendalikan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan