Pengawal Keselamatan Merompak Dipenjara 3 Tahun

Diterbitkan: Selasa, 5 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan yang melarikan 12 kotak rokok semasa merompak sebuah stesen minyak awal bulan lalu, menerima padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadapnya.

Hakim Zulhazmi Abdullah juga memerintahkan supaya tertuduh, Mohd Hidir Bedilah, 37, diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun bagi kesalahan tersebut.

Hukuman itu dijatuhkanselepas Mohd Hidir mengaku bersalah atas tuduhan merompak dua juruwang, Ismail Puasa, 30, dan Nurhozaymatin Tahmit, 22, pada pukul 7.18 malam, 6 Mac 2011 di Jalan Nipah,Cheras, di sini.

Selain melarikan kotak-kotak rokok, Mohd Hidir yang bersama dengan seorang rakan sejenayah juga mengambil wang tunai RM352 daripada mesin wang milik stesen terbabit.

Semasa itu, leher mangsa diacukan dengan sebilah parang.

Selepas itu,Mohd Hidir yang memakai topeng muka terus menuju ke rakannya yang menunggu di luar stesen minyak dengan menunggang sebuah motosikal.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan terhadapnya kerana mendakwa dia menghidap penyakit asma.

"Saya juga merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai dua orang anak," katanya.

Bagaimanapun, Nurmadiana memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana kejadian jenayah yang semakin berleluasa.

"Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sepatutnya membantu pihak berkuasa membanteras jenayah, tetapi dia pula yang melakukannya," tambah beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan