Pengawal Keselamatan Ke Tali Gantung Kerana Edar 9,482 Gram Ganja

Diterbitkan: Isnin, 4 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang wanita menangis teresak-esak apabila Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas suaminya yang didapati bersalah mengedar ganja seberat 9,482 gram di kawasan sebuah stesen minyak di Gombak dekat sini, tiga tahun lepas.

Suasana menjadi hiba apabila wanita itu memeluk erat suaminya, Ahmad Shafila Mohamad Arshad, 40, sebelum tertuduh dibawa ke lokap mahkamah oleh anggota polis.

Wanita itu ternyata tidak dapat menahan kesedihan sehingga terduduk di atas lantai menyebabkan beberapa anggota keluarga yang hadir terpaksa menenangkannya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Shafila, seorang pengawal keselamatan, selepas mendapati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas mengedar dadah berbahaya itu di kawasan Stesen Minyak Shell, Lot 5729, Batu 6 1/2, Ulu Gombak, Jalan Lingkaran Tengah II Gombak, kira-kira pukul 10.05 malam pada 26 Februari 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Akhtar berkata beliau tidak mempercayai pembelaan tertuduh bahawa dia tidak tahu langsung mengenai transaksi perbincangan dalam urusan jual beli dadah di tempat kejadian.

Beliau berkata tindakan tertuduh pergi ke stesen minyak itu jelas menunjukkan dia dan dua suspek lagi mempunyai niat bersama untuk menjual ganja dan walaupun dua lagi suspek berjaya melarikan diri, ini tidak bermakna tertuduh tidak memainkan sebarang peranan.

"Saya rasa tertuduh main peranan utama dalam kes ini dengan bawa dan serah ganja selepas bayaran dibuat. Pendakwaan berjaya buktikan tuduhan kepada tertuduh melampaui keraguan yang munasabah.

"Hukuman hanya satu bagi kes-kes pengedaran dan sehubungan itu, tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin memanggil seramai 14 saksi memberi keterangan sementara pembelaan yang diwakili peguam Datuk Hanif Hashim mengemukakan seorang saksi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan