Teguran Sinis Suruhanjaya Ibarat Leteran Emak

Diterbitkan: Ahad, 3 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SURUHANJAYA siasatan kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock yang bersidang sejak 14 Februari lalu secara tidak langsung membuka mata masyarakat tentang cara kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini kerana, prosedur yang digunakan oleh badan berkecuali yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegahan Rasuah (BPR) baik dalam menyoal seorang suspek atau saksi ditanya dengan teliti, termasuklah oleh Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Tetapi, apa yang paling mengejutkan sudah pastilah pendedahan mengenai tindakan seorang pegawai SPRM, Mohd Asyraf Mohd Yunus yang menonton dan memuat turun bahan lucah semasa berada di pejabat.

Dan lebih malang, perbuatan itu 'terbongkar' di satu prosiding suruhanjaya yang dihadiri oleh media, tidak kira dari arus perdana mahupun daripada portal berita yang dikatakan pro-pembangkang.

Tidak dinafikan tiada individu yang benar-benar bersih daripada penyalahgunaan kemudahan di pejabat (terutamanya dengan kewujudan Facebook, Twitter, YouTube dan sebagainya) tetapi dibongkarkan dalam keadaan sedemikian rupa?

Dari satu sudut, persoalan yang timbul adalah apakah perbuatan itu akan diteruskan jika tiada saksi, (dalam kes ini Teoh) mati pada 16 Julai 2009 yang sekaligus akan menyebabkan tiada suruhanjaya yang akan bersidang.

Kredibiliti Mohd Asyraf terus diperkatakan kerana selain daripada insiden bahan lucah, dia dikatakan telah dicamkan secara positif dalam 13 kawat cam.

Semua kawat cam tersebut ekoran daripada laporan polis yang dilakukan oleh orang awam yang mendakwa mereka dikasari semasa berada di pejabat SPRM.

Salah seorang anggota suruhanjaya, Datuk T. Selventhiranathan juga meluahkan kebimbangan dengan jumlah laporan polis terhadap SPRM Selangor.

Menurut beliau, terdapat 59 laporan polis dibuat terhadap SPRM dan 21 daripadanya melibatkan SPRM Selangor walaupun setiap pegawainya menegaskan bahawa mereka hanya menggunakan pendekatan berhemah dalam menyoal balas saksi.

Malah, Bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim sendiri mengakui bahawa beliau bukanlah seorang yang garang dan setiap saksi dilayan dengan baik kerana ia akan memberikan kesan kepada kes yang disiasat.

Keterangan-keterangan yang mengejutkan ini bagaimanapun bukanlah berniat untuk memalukan atau membuka pekung di dada SPRM.

Sebaiknya, James sendiri semasa menempelak Mohd Asyraf yang kerap memberikan jawapan 'tidak ingat' mengenai apa yang berlaku kepada Teoh sejak dia ditahan bermula 15 Julai 2009 mengatakan bahawa soalan-soalan panas itu ditanya untuk mengetahui prosuder yang diguna pakai oleh SPRM.

"Kami perlu bertanya kerana antara terma rujukan suruhanjaya ialah untuk menyiasat sama ada prosedur siasatan terhadap si mati dilakukan oleh SPRM dengan betul, adil atau sebaliknya," jelas James.

Sepanjang prosiding yang melibatkan pegawai-pegawai SPRM, James dan anggota suruhanjaya juga berkali-kali meminta cadangan untuk membaik pulih imej SPRM yang tidak keterlaluan jika dikatakan telah tercalar dengan kematian Teoh. James juga mengakui bahawa mungkin ada di antara pegawai yang telah lama berkhidmat perlu sering diingatkan beratnya amanah yang dipikul ekoran telah mula 'besar kepala' dengan 'kuasa' yang diberikan.

Dalam beberapa sudut, selain mendapatkan gambaran yang jelas mengenai 'misteri' yang menyelubungi kematian Teoh, prosiding suruhanjaya juga boleh dilihat sebagai platform untuk memperbaiki imej, bukan sahaja oleh SPRM malah untuk semua yang terlibat.

Seperti penggunaan kamera oleh pihak polis yang ditegur oleh James secara berseloroh meminta supaya kamera lebih terkini digunakan kerana kualiti gambar yang dihasilkan kurang jelas kerana agak kehitam-hitaman.

Ini sekaligus menyebabkan gambar-gambar yang diambil oleh seorang pakar forensik, Dr Prashant Naresh Samberkar dengan menggunakan kamera peribadinya lebih menjadi pilihan peguam-peguam untuk digunakan sebagai rujukan sepanjang prosiding.

Walaupun 'teguran-teguran sinis' ini agak menyakitkan telinga yang mendengar, ia sebenarnya membawa maksud yang baik dan perlu dianggap sebagai 'leteran emak' ataupun 'teguran seorang bapa yang mengajar anaknya' kerana jika diperhalusi ia penuh dengan kasih dan sayang

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan