Wanita Baru Habis Berpantang Didakwa Tipu, Minta Rasuah

Diterbitkan: Khamis, 31 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang wanita yang baru habis menjalani pantang antara yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tuduhan menipu dan menerima rasuah, lima tahun lalu.

Noor Asmarzillah Abdullah, 32, yang baru melahirkan anak ketiganya dua bulan lalu didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang ibu tunggal, Norfarisha Samsudin, 35, dan seorang lagi kenalan, Mashitah Nasir, 30.

Semua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu pemilik syarikat Megah Stainless Steel Engineering, Wong Ying Lin, 31, kononnya mereka pegawai kastam yang menyebabkan dia menyerahkan wang tunai RM1,300 sebagai sumbangan iklan bagi penerbitan Buletin Kesatuan Pegawai Marin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 pagi, 8 September 2006 di nombor 4, Jalan SU, Taman Industrial Selayang Utama, Batu Caves, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadzillah Mohd Ossman mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim Asmadi Husin membenarkan semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 April depan.

Di Mahkamah Sesyen berlainan, Noor Asmarzillah dan Norfarisha sekali lagi mengaku tidak bersalah bersama Pa’aiza Baki, 42, atas tuduhan menerima suapan wang tunai RM4,000 daripada Wong yang didakwa dilakukan pada pukul 5 petang, 21 September 2006.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan kepada tertuduh untuk tidak mengenakan cukai jualan ke atas Wong.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim M. Bakri Abd Majid menetapkan jaminan pada jumlah RM3,000 dengan seorang penjamin selepas mempertimbangkan rayuan yang diberikan oleh peguam Dir Kheizwan Kamaruddin.

Dir Kheizwan memberitahu, Norfarisha mempunyai empat orang anak berusia antara 15 dan tujuh tahun dan mengharapkan bantuan daripada keluarga kerana tidak bekerja ekoran menghidap sakit sendi.

“Pa’aiza tidak bekerja dan mempunyai lima orang anak dan mengalami masalah ketumbuhan dalam rahim dan masih menjalani rawatan manakala suaminya tidak bekerja tetap.

“Noor Asmarzillah pula bekerja sebagai penjual kuih dan mempunyai tiga orang anak,” katanya.

Beliau juga memberitahu, semua tertuduh juga telah 54 kali turun naik ke pejabat SPRM untuk memperbaharui bon jaminan sejak ditangkap pada 21 September 2006 yang menunjukkan mereka tidak akan melarikan diri.

Sementara itu, Norfarisha turut didakwa di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah atas tuduhan meminta suapan wang tunai RM4,000 daripada Wong pada antara pukul 3 dan 3.30 petang, 21 September 2006.

Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu yang didakwa dilakukan atas dorongan untuk tidak mengenakan cukai jualan ke atas Wong.

Mat Ghani menetapkan jaminan tertuduh dengan jumlah RM4,000 dan menetapkan sebutan semula pada 22 April ini sebelum kes mula dibicarakan pada 1 Jun depan.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan