Juruanalisa Polis Sahkan Peluru Sepadan Caliber Berlaras .32

Diterbitkan: Rabu, 30 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TUMPAT: Seorang juruanalisa polis mengesahkan sebutir peluru yang dianalisisnya berkaitan satu kes pembunuhan seorang pengawal Istana Kelantan adalah sepadan dengan pistol jenis Caliber berlaras .32.

Inspektor Amir Abdullah yang bertugas di Bahagian Balistik Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras, berkata ia berdasarkan kepada berat timbangan peluru itu serta saiz diameternya yang memang sepadan dengan senjata api tersebut.

"Berat timbangan peluru itu adalah seberat 72 grain dengan ukuran diameter 7.76 yang sepadan dengan Caliber .32.

"Peluru itu juga telah disemak melalui pangkalan data Balistik Malaysia yang sebelum ini juga tidak pernah dianalisis (kes baru)," katanya sewaktu memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini bagi menyiasat kematian Ramli Mohamad dalam kejadian di Palekbang, Tumpat pada awal pagi 1 Mei 2010.

Inkues itu didengar di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdul Razak Wan Hussein.

Pada prosiding itu, Amir berkata beliau hanya menerima sampul berisi peluru itu pada 11 Mei 2010 yang kemudiannya diserahkan kembali kepada pegawai penyiasat ASP Kamarul Nizam Alias pada 21 Jun 2010.

Sementara itu seorang lagi saksi, Inspektor Noor Shuhada Hussin berkata beliau dan beberapa anggota termasuk jurugambar telah ke tempat kejadian pada pagi 1 Mei 2010, pada 3.40 pagi untuk membuat siasatan.

"Saya dapati terdapat sebuah motosikal di tepi jalan dan beberapa tompokan darah pada rumput, raga motosikal dan topi keledar," katanya sambil menunjukkan beberapa keping gambar berkaitan kes itu.

Noor Shuhada yang juga merupakan pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Daerah Polis Tumpat kemudiannya telah sekali lagi ke tempat kejadian pada 11 pagi, hari yang sama bagi mencari kelongsong peluru.

"Kelongsong peluru gagal ditemui oleh saya dan juga anggota yang lain manakala motosikal itu telah dihantar ke Balai Polis Palekbang sebelum diserahkan kepada anak mangsa," katanya.

Beliau kemudiannya telah bertemu isteri mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada keesokan hari bagi mengambil pakaian Ramli iaitu sehelai kemeja, sehelai seluar panjang dan sehelai seluar dalam. Prosiding inkues bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan