Mayat Isteri Dalam Almari: Nasib Suami Diketahui 12 April

Diterbitkan: Isnin, 28 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Nasib seorang pengurus syarikat katering, Mohafri Mohamed sama ada dia akan diarahkan untuk membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan membunuh dan menyembunyikan mayat isterinya di dalam almari pakaian akan diketahui pada 12 April depan.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki selepas beliau mendengar hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak pada Isnin.

Mohafri, 38, didakwa atas tuduhan membunuh Fazlina Ahmad, 38, yang merupakan seorang eksekutif swasta antara pukul 5 dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009 di rumah nombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang, dekat sini.

Tertuduh ditangkap pada 3 Januari 2010.

Dia yang mempunyai dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan mangsa kini berhadapan dengan hukuman mati mandatori, sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar menghujahkan bahawa pembelaan tertuduh yang mendakwa kematian mangsa disebabkan oleh serangan asma adalah tidak benar.

Sebaliknya beliau berkata, kematian itu diakibatkan oleh kelemasan selepas organ pernafasan luaran mangsa iaitu hidung dan mulut ditutup dengan menggunakan pita pelekat.

Tambah Rosidah, perkara itu juga disokong menerusi keterangan yang diberikan oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Khairul Anuar Zainun yang turut berpendapat mangsa mati antara satu ke satu setengah minit selepas pita itu dilekatkan.

Menurutnya lagi, meskipun tiada keterangan secara langsung yang dapat menjuruskan tertuduh dengan jenayah tersebut, terdapat pelbagai keterangan ikut keadaan yang dapat mengaitkan tertuduh.

"Antaranya hubungan tertuduh dengan mangsa sememangnya tidak baik dan mereka dalam proses untuk bercerai. Teman wanita tertuduh juga mengakui bahawa mereka sepatutnya bertolak ke Thailand pada hari kejadian untuk berkahwin di sana.

"Jika benar mangsa terkena serangan asma, mengapa tertuduh tidak mendapatkan bantuan dan mengapa pula tertuduh perlu menghalang pembantu rumah mereka, Yayok daripada memasuki bilik dan menghampiri almari?

"Tertuduh juga tidak pulang ke rumah apabila diberitahu bahawa mangsa hilang dan hanya ditangkap beberapa hari kemudian. Tidak adakah sekelumit perasaan terhadap mangsa sebagai isterinya yang masih sah dan ibu kepada anak-anaknya?," tambah Rosidah.

Bagaimanapun, peguam Hisyam Teh Poh Teik menghujahkan bahawa berlaku kelompangan dalam kes pendakwaan apabila pihak pendakwaan tidak memanggil Yayok sebagai saksi sedangkan wanita daripada Indonesia itu merupakan seorang saksi penting.

"Yayok berada di dalam rumah tersebut semasa kejadian bunuh didakwa berlaku. Semasa tertuduh mencari ubat asma mangsa, Yayok tinggal bersendirian dengan mangsa selama empat atau lima minit.

"Yayok juga diketahui mempunyai masalah dengan mangsa," katanya dan menambah tiada kesan asid deoksiribonukleik (DNA) yang ditemui pada pita-pita pelekat bersaiz 35 sentimeter lebar yang ditemui pada mangsa.

"JIka benar tertuduh adalah individu yang melekatkan pita pelekat tersebut, sudah pastilah kesan DNA atau cap jarinya akan tertinggal pada pita pelekat," tambah Hisyam.

Selain itu, Hisyam juga menimbulkan persoalan mengenai kehadiran profil DNA yang tidak dikenali pada pita pelekat tersebut yang telah ditandakan sebagai 'Male 1'.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan