Siasatan Terhadap Dua Adun Ditutup Selepas Teoh Mati

Diterbitkan: Khamis, 24 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock pada Khamis diberitahu bahawa kes siasatan penyelewengan wang peruntukan oleh dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor terpaksa ditutup ekoran kematian Teoh.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Penyiasatan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Anuar Ismail berkata kematian Teoh membantutkan siasatan dan merugikan SPRM kerana ia tidak boleh diteruskan tanpa Teoh.

Katanya penutupan kes itu diberitahu oleh pegawai penyiasat bernama Syafik, yang mengambil alih kes itu daripadanya.

Dua kes itu membabitkan siasatan dakwaan penyelewengan di kawasan Seri Kembangan dan Kampung Tunku bagi tahun 2008 hingga 2009.

Selain itu Anuar yang dipanggil sebagai saksi ke-24 turut memberitahu bahawa beliau berasa marah dengan tindakan Teoh yang terjun dari bangunan pejabat SPRM kerana kematian itu menyusahkan dirinya.

Ditanya peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah adakah beliau yang menyebabkan tindakan Teoh (terjun), Mohd Anuar berkata: "Saya tidak rasa begitu. Saya tidak sebabkan kematian (Teoh)."

Tambahnya sepanjang bekerja di SPRM beliau menyoal beribu saksi dengan cara yang sama seperti mana menyoal Teoh, dan kejadian yang menimpa Teoh adalah pertama kali berlaku.

"Saya tidak rasa tindakan saya membawa dia ke pejabat menyebabkan dia terjun ke bawah," katanya.

Mohd Anuar berkata keputusan Teoh untuk tidak pulang pada pukul 3.30 pagi pada 16 Julai 2009 selepas rakaman percakapan mungkin disebabkan beliau tidak mahu berjumpa dengan ketuanya atau orang berkaitan kes penyelewengan itu.

Selain itu Mohd Anuar juga memberitahu ketika pertama kali berjumpa dengan Teoh di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) beliau dilihat mundar-mandir dan kerap menelefon.

Kelakuan yang sama juga dilihat sejurus sampai di pejabat SPRM dan disebabkan itu Mohd Anuar meminta beliau duduk bersama beberapa pegawai SPRM untuk berbual.

Di akhir prosiding Mohd Anuar bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa pihak SPRM perlu menyediakan perkhidmatan penghantaran saksi menggunakan teksi sekiranya sudah lewat malam atau saksi tidak mempunyai kenderaan.

Beliau yang menamatkan keterangannya hari ini sempat memberitahu suruhanjaya bahawa beliau kini berasa lega dan berharap prosiding dipercepatkan.

"Jika salah, salahlah, kalau betul, betullah," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya Siasatan ini dipengerusi Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, yang antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Prosiding disambung Jumaat.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan