Teoh Minta Rakaman Percakapan Diselesaikan Secepat Mungkin

Diterbitkan: Rabu, 23 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock pada Selasa diberitahu setiausaha politik kepada exco Selangor itu meminta supaya rakaman percakapan yang dibuat terhadapnya diselesaikan secepat mungkin.

Pemangku Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Mohd Anuar Ismail berkata beliau dimaklumkan mengenai permintaan Teoh untuk menghabiskan rakaman percakapan itu ketika masuk ke dalam bilik Penolong Kanan Penguasa SPRM Selangor Mohd Nadzri Ibrahim pada 16 Julai 2009.

Teoh adalah saksi yang disiasat SPRM berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan kerajaan di kawasan Seri Kembangan.

"Rakaman percakapan dibuat oleh Mohd Nadzri dan ketika saya masuk ke dalam bilik beliau pada pukul 2 pagi dan bertanyakan sama ada semuanya 'Ok', pertanyaan saya tidak dijawab dan saya lihat Teoh hanya berdiam diri dan menundukkan muka ke bawah," katanya.

Mohd Anuar berkata Teoh dilihat tunduk dan memberitahu Mohd Nadzri supaya meneruskan rakaman percakapan dan mahu supaya rakaman itu dihabiskan pada waktu itu juga. Ketika disoal pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud apakah intonasi suara Teoh ketika memberitahu supaya rakaman itu diteruskan, Mohd Anuar berkata: "Teoh bercakap dalam nada yang perlahan".

Mohd Anuar, yang juga saksi ke-23 suruhanjaya itu memaklumkan pada prosiding, beliau tidak mengetahui sama ada Teoh tertekan dan takut ketika rakaman percakapan dijalankan kerana sewaktu beliau masuk ke dalam bilik Mohd Nadzri beliau melihat Teoh banyak menundukkan muka ke bawah.

Mohd Anuar turut menafikan beliau membuat ugutan secara tersurat dan tersirat kepada Teoh ketika masuk ke dalam bilik itu.

Beliau berkata lebih kurang pukul 3.30 pagi hingga 3.45 pagi, Mohd Nadzri datang berjumpa dengan beliau yang ketika itu tidur di surau dan memaklumkan rakaman percakapan telah diselesaikan.

"Saya memaklumkan kepada Mohd Nadzri supaya membenarkan Teoh pulang dan membawa empat dokumen sokongan yang dimaklumkan oleh Ketua Unit Siasatan Hairul Ilham Hamzah kepada saya," katanya. Pengerusi suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen kemudian bertanyakan mengenai tindakan Mohd Anuar yang tidur di surau sedangkan beliau adalah pegawai yang bertangungjawab bagi kes itu.

Mohd Anuar menjawab: "Saya berasa 'exhausted' dengan urusan yang telah diselesaikan sepanjang hari".

Beliau juga tidak tahu Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim turut berada berada di pejabat SPRM pada ketika itu, 15 Julai 2009 dan 16 Julai 2009.

Selain itu, Mohd Anuar turut memberitahu pada prosiding, Teoh boleh dianggap sebagai 'rakan sejenayah' kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Ketika disoal Awang Armadajaya mengapa Mohd Anuar berpendapat sedemikian, Mohd Anuar berkata Teoh mungkin boleh dianggap 'rakan sejenayah' atau 'suspek' berdasarkan empat dokumen yang mencurigakan yang ditemui dalam komputer riba beliau.

Mohd Anuar berkata kemungkinan Teoh disyaki berbuat demikian atas arahan atau kelulusan Yong.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan