Teoh Kelihatan Gelisah Kali Pertama Kunjungi SPRM Selangor

Diterbitkan: Rabu, 23 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock Selasa diberitahu bahawa setiausaha politik exco Selangor itu kelihatan gelisah ketika kali pertama mengunjungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Pemangku Penguasa Kanan SPRM, Mohd Anuar Ismail berkata beliau melihat Teoh seolah-olah mencari sesuatu dan mundar-mandir seorang diri di ruang legar utama Tingkat 14 Plaza Masalam pada 6.15 petang, 15 Julai 2009.

Saksi ke-23 itu berkata beliau kemudian bertanya Teoh apa yang boleh dibantunya.

Bagaimanapun, pada peringkat ini, Pengerusi Suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen mempertikaikan tindakan Mohd Anuar itu kerana Teoh dipanggil bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan tuntutan exco berkenaan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Perkara itu disokong bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang berpendapat tindakan Mohd Anuar itu menimbulkan tanda tanya terhadap SPRM.

Mohd Anuar kemudian menjelaskan bahawa ketika itu, beliau melihat Teoh dalam keadaan tidak selesa dan seolah-olah ada perkara yang ingin dilakukannya.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor Tingkat Lima, Plaza Masalam selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM di Tingkat 14 bangunan itu.

Beliau berkata Teoh ditempatkan di bilik Pendidikan Masyarakat (Penmas) sementara menunggu percakapannya dirakam, dan pada ketika itu, terdapat beberapa pegawai SPRM sedang berehat di sofa di bilik sama.

Foong kemudian menyoal Mohd Anuar rasional menempatkan Teoh di Penmas bersama-sama beberapa pegawai SPRM.

"Saya membawa Teoh ke bilik Penmas untuk beliau berehat dan menenangkannya, kerana di situ ada ruang rehat," kata Mohd Anuar.

Kepada soalan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T S Nathan, beliau menafikan bahawa tindakan membiarkan Teoh dikelilingi pegawai SPRM adalah untuk menggerunkannya atau menggunakan pendekatan psikologi terhadap Teoh.

Sementara itu, seorang lagi anggota suruhanjaya iaitu Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom berkata kaedah Mohd Anuar untuk menenangkan Teoh adalah salah kerana dia dikelilingi pegawai SPRM.

Bagaimanapun, Mohd Anuar bertegas menyatakan bahawa tindakannya itu hanya untuk mengurangkan kegelisahan Teoh.

Beliau juga berkata Teoh tidak diberi pilihan sama ada beliau perlu hadir atau tidak ke pejabat SPRM pada 15 Julai 2009.

Penubuhan suruhanjaya itu, yang turut dianggotai Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Bhupinder Singh, diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner, pada akhir siasatannya, membuat keputusan terbuka. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan