Mahkamah Tetapkan 14 April Dengar Permohonan Pegawai Kanan TUDM

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mendapatkan kebenaran untuk Mahkamah Tinggi mendengar permohonannya berhubung keingkaran Majlis Angkatan Tentera Malaysia dan Kerajaan Malaysia mengambilnya bekerja semula.

Mahkamah Tinggi memutuskan membenarkan permohonan menghina mahkamah yang dikemukakan oleh Mejar Fadzil Arshad pada Selasa lepas manakala hari ini Hakim Mahkamah Tinggi Rohana Yusuf menetapkan 14 April depan untuk mendengar permohonan itu.

Pada 3 Ogos 2010, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zawawi Salleh mengisytiharkan keputusan Majlis Angkatan Tentera Malaysia membersarakan Fadzil adalah tidak sah dan salah di sisi undang-undang.

Selain itu responden diperintahkan supaya mengembalikan Fadzil kepada jawatan dan pangkat pemohon seolah-olah pemohon tidak pernah meninggalkan TUDM dan membayar gaji serta lain-lain faedah yang layak diterima oleh pemohon bermula pada 17 Julai 2008 serta apa-apa pelarasan lain yang perlu untuk imbuhannya.

Fadzil, 49, yang diwakili peguam Leftenan Komander (B) Zalil Mohd Mess mengemukakan permohonan itu setelah mendakwa kedua-dua responden tidak membuat sebarang tindakan berhubung perintah tersebut.

Dalam permohonan yang difailkan pada 12 Disember, 2008, Fadzil berkata Panglima Tentera Udara (PTU) telah memaklumkan kepadanya bahawa keputusan Lembaga Siasatan Majlis Angkatan Tentera Malaysia merumuskan beliau bertanggungjawab terhadap kecuaian yang berlaku dalam pengurusan dan pembelian peralatan ketenteraan seperti Andros Robot dan Bomb Suit.

Katanya beliau telah dipanggil untuk satu temuduga kerjaya pada 7 Julai 2008, bagaimanapun, majlis berkenaan sebaliknya telah membersarakannya serta membatalkan tauliahnya pada hari berkenaan.

Beliau telah mengemukakan rayuan tetapi ditolak atas alasan persaraan dan pembatalan tauliahnya telahpun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, sehingga 5 November 2008, beliau tidak menerima sebarang keputusan bertulis berhubung persaraan dan pembatalan tauliahnya oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, Fadzil berkata keputusan Majlis Angkatan Tentera Malaysia memaksanya bersara lebih awal, adalah salah dan tidak sah di sisi undang-undang kerana beliau tidak diberikan hak untuk didengar, dan mereka juga gagal memberikan alasan bagi keputusan itu.

Katanya, akibat pembatalan tauliah dan persaraan paksa itu, beliau dilihat seolah-olah bersalah menipu wang kerajaan, selain bersekongkol dengan kontraktor serta pegawai atasan untuk berbuat demikian, sehingga menyebabkan kerugian. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Kolumnis

iklan

Iklan