Umi Hafilda Arah Baginda Minda Cermin Diri

Diterbitkan: Khamis, 17 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umi Hafilda Ali meminta supaya Baginda Minda, iaitu individu yang mendakwa dirinya sebagai bekas rakan perniagaannya supaya mencemin diri sendiri sebelum berkata mengenai orang lain.

Umi Hafilda berkata demikian apabila mengulas tentang kenyataan Baginda Minda atau nama sebenarnya Nor Azman Abdullah yang didakwa bermaksud dia sebagai seorang wanita yang tidak bermoral dan mempunyai banyak skandal.

Wanita yang merupakan saksi utama dalam perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu seterusnya menyifatkan perbuatan Baginda tersebut sebagai ‘harga yang perlu dibayarnya untuk menegakkan kebenaran’.

Umi Hafilda berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Khamis, selepas memfailkan saman menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada Baginda dan juga pemilik portal berita, MKini Dotcom Sdn Bhd yang menerbitkan portal berita, MalaysiaKini.

Tindakan untuk memfailkan saman itu dibuat kerana mendakwa Baginda telah memfitnahnya pada 15 Mac lalu yang telah disiarkan di laman web MalaysiaKini pada hari yang sama menerusi artikel yang ditulis oleh wartawan Hazlan Zakaria.

“Saya bersyukur kerana keadilan dapat dilaksanakan untuk membersihkan diri saya daripada fitnah tersebut. Ibu saya sangat sedih,” katanya.

Umi Hafilda juga berkata, tindakan saman tersebut merupakan amaran kepada bloger-bloger bebas yang tidak bertanggungjawab yang sewenang-wenangnya menggugat dirinya tanpa sebarang bukti atau asas yang kukuh.

Pada Khamis, Umi Hafilda memfailkan saman menerusi Tetuan Sahrihan & Hamdan terhadap Baginda Minda dan pemilik portal berita MalaysiaKini, MKini Dotcom Sdn Bhd kerana didakwa memfitnahnya, selain memohon injunksi untuk menghalang penyebaran fitnah itu.

Pada penyataan tuntutannya, Umi Hafilda mendakwa Baginda Minda mengeluarkan kenyataan fitnah itu secara sindiran merujuk kepada dirinya pada sidang media yang dihadiri oleh sekumpulan wartawan lobi Parlimen pada 15 Mac lalu.

Dia seterusnya mendakwa, defendan kedua telah menerbitkan kenyataan berbentuk fitnah itu dalam dua versi, iaitu Bahasa Malaysia yang diterbitkan pada haru yang sama pukul 2.31 petang diikuti Bahasa Inggeris pada pukul 3.04 petang.

Artikel tersebut didakwa ditulis oleh wartawan Hazlan Zakaria dan bertajuk ‘Baginda pula jelajah ‘bongkar’ Ummi Hafilda’ dan ‘Ummi's ex-partner threatens to ‘tells all’.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan