Suruhanjaya Arah Siasat SMS Dakwa SPRM Guna Kekerasan

Diterbitkan: Rabu, 16 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya siasatan kematian Teoh Beng Hock mengarahkan supaya siasatan dijalankan terhadap khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa wujud penggunaan kekerasan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendedahan mengenai SMS itu dilakukan sendiri oleh pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen pada prosiding Rabu.

Menurut James, SMS itu jelas menyatakan bahawa SPRM ada menggunakan kekerasan yang dapat meninggalkan kesan, iaitu lebam dan calar.

Selain itu, SMS itu juga menyebut nama dua pegawai SPRM, iaitu Pemangku Penolong Pesuruhjaya, Hairul Ilham Hamzah yang dipanggil sebagai saksi ke-22 pada prosiding hari ini.

Seorang lagi pegawai yang dikaitkan dengan SMS itu ialah, Mohd Ashraf Mohd Yunus, yang didakwa mendapat gelaran sebagai ‘Hairul’s boy’ atau ‘budak suruhan’ disebabkan hubungan mereka yang rapat.

Pada prosiding itu, James turut membaca kedua-dua SMS tersebut daripada telefon bimbitnya.

Antara kandungan SMS itu menyatakan bahawa seorang lelaki yang telah ditahan pada 24 Jun dan kad pengenalanya (IC) disimpan sehingga 1 Julai tahun yang sama membuat laporan polis dan laporan hospital mengesahkan berlaku kecederaan, bagaimanapun kes itu tertunda.

SMS kedua pula mendakwa seorang lelaki yang turut ditahan membuat laporan polis pada 8 Julai dan mempunyai kesan lebam dan calar semasa ditahan oleh SPRM pada 2 Julai 2009, manakala IC disimpan sehingga 7 Julai 2009.

Bagaimanapun, Hairul Ilham memberitahu bahawa beliau tidak pernah mempunyai pengetahuan mengenai SMS-SMS tersebut.

Sebaliknya, tambah beliau, kewujudan SMS tersebut hanya disedari selepas kejadian Teoh yang dipanggil sebagai saksi SPRM ditemui mati.

“Pada ketika itu, saya ada menerima hampir 20 aduan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menyatakan berlaku kekerasan dalam siasatan SPRM,” katanya.

Pada keterangan lain, Hairul Ilham yang telah berkhidmat dengan SPRM selama lapan tahun mengakui bahawa beliau berasa panik apabila diberitahu Teoh telah meninggal dunia.

“Saya panik, tidak tahu mahu buat apa. Ini kali pertama saya berdepan dengan kematian seorang saksi.

“Saya panik kerana saksi tersebut di bawah tanggungjawab saya,” katanya.

Menurut Hairul Ilham, berita kematian pembantu politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah diketahui semasa beliau dalam perjalanan ke Putrajaya.

Selain itu, saksi juga memberitahu beliau tidak akan menahan Teoh di pejabat SPRM pada malam tersebut, sekiranya ada alasan yang munasabah.

“Jika Teoh minta untuk balik dengan alasan seperti mahu berkahwin, saya akan benarkan.

“Saya tidak akan buat soal siasat pada hari itu,” katanya semasa disoal oleh pegendali suruhanjaya, Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Tunang Teoh, Sor Cher Wei pada kenyataannya kepada media sebelum ini memaklumkan mereka sepatutnya mendaftarkan perkahwinan pada 18 Julai 2009, iaitu dua hari selepas Teoh ditemui mati.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini, selepas berada di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14, plaza sama.

Dia dikatakan hadir ke pejabat badan berkecuali itu bagi membantu siasatan mengenai dakwaan penyelewenggan yang dikatakan dilakukan oleh Ean.

Pada 5 Januari lalu, Koroner Azmil Muntapha Abas yang mendengar prosiding inkues siasatan kematian Teoh memberikan keputusan terbuka, kerana tidak dapat menentukan sama ada kematian itu diakibatkan oleh bunuh diri atau dibunuh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan