Tunang Teoh Beng Hock Setuju Ditemu Bual Pakar Psikiatri Forensik

Diterbitkan: Selasa, 15 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tunang kepada Teoh Beng Hock telah menyatakan persetujuannya untuk ditemu bual oleh pakar psikiatri forensik yang terlibat dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian pembantu politik tersebut, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, persetujuan yang diberikan oleh Sor Cher Wei yang merupakan guru sekolah rendah itu dibuat dengan dua syarat.

Syarat-syarat tersebut ialah keseluruhan temu bual itu mesti dirakamkan dengan menggunakan kamera video dan peguam dia dibenarkan untuk berada sepanjang sesi temu bual yang akan diadakan di Melaka.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Suruhanjaya, Datuk Saripuddin Kassim yang dikeluarkan pada Selasa, turut memaklumkan bahawa suruhajaya telah menghubungi abang Teoh, Teoh Meng Kee bagi tujuan temu bual tersebut.

Meng Kee dikatakan telah meminta agar segala perbincangan mengenai perkara tersebut dibuat melalui peguam keluarga mereka, iaitu Gobind Singh Deo.

Pada 7 Mac lalu, suruhanjaya memerintahkan supaya tiga pakar psikiatri untuk menemu bual anggota keluarga Teoh untuk mengetahui keadaan mental mendiang sebelum dia meninggal dunia.

Ketiga-tiga pakar psikiatri itu ialah Perunding Forensik Hospital Permai, Johor, Dr Bada’iah Yahya, Pakar Perunding Psikiatri Kementerian Kesihatan, Dr Nor Hayati Ali dan Pengarah Hospital Permai, Dr Benjamin Chan.

Temu bual tersebut diperlukan untuk membantu suruhanjaya mengenal pasti sifat dan sikap Teoh, yang merupakan pembantu politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen sebelum ini juga pernah berkata bahawa Soh merupakan saksi penting dalam kes ini dan sehingga kini tiada kenyataan dia direkodkan.

Soh, 30, yang mengikat tali pertunangan dengan Teoh selepas lima tahun berkenalan semasa sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengandung dua bulan semasa mendiang meninggal dunia.

Pasangan itu juga sepatutnya mendaftarkan perkahwinan mereka di Alor Gajah, Melaka, pada 18 Julai 2009 tetapi Teoh ditemui mati di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini dua hari sebelum itu.

Mayat Teoh ditemui pada 16 Julai 2009 dan kematian itu menimbulkan persoalan kerana beberapa jam sebelum itu dia hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dirakamkan percakapan sebagai seorang saksi.

Soh kemudiannya melahirkan seorang anak lelaki.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan