SPRM Mohon Telefon Gobind, Ean Diserah Untuk Siasatan

Diterbitkan: Selasa, 15 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin memohon supaya telefon bimbit peguam keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo dan anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah diserahkan kepada Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh untuk disiasat.

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM berkata siasatan ke atas telefon bimbit mereka mampu membongkar 'state of mind' (keadaan minda) Teoh, sekiranya terdapat komunikasi di antara mereka.

Muhammad Shafee turut memohon penyerahan telefon bimbit milik Anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah; seorang kontraktor bernama Harun; dan peguam M Manoharan.

Tan dan Harun merupakan antara saksi yang dipanggil oleh SPRM pada malam yang sama dengan Teoh manakala Manoharan adalah orang terakhir yang bercakap dengan Teoh (menerusi telefon) selepas beliau dibawa ke pejabat tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya Tan Sri James Foong Cheng Yuen bagaimanapun belum membuat keputusan di atas permohonan itu dan berkata akan mempertimbangkannya sekiranya ia berkaitan dengan kematian Teoh.

Muhammad Shafee membuat permohonan itu sejurus selepas suruhanjaya memutuskan semua telefon dan komputer milik pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan Teoh pada Julai 2009 diserahkan untuk siasatan.

Teoh, 30, setiausaha politik Ean, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Sementara itu dalam prosiding hari ini, Penolong Penguasa SPRM Putrajaya Arman Alies berkata, setiap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diberi RM500,000 untuk satu kawasan dan boleh juga dilantik sebagai ADUN angkat bagi kawasan tertentu serta diberi jumlah peruntukan yang sama.

Katanya soal siasat ke atas Teoh pada Julai 2009 itu adalah berkaitan dengan peruntukan tersebut dan Ean, yang merupakan ADUN Seri Kembangan juga merupakan ADUN angkat bagi kawasan Hulu Selangor atau Kuala Kubu Baru.

Ditanya Muhammad Shafee sama ada beliau tahu terdapat kesilapan ejaan di dalam tiga dokumen (ketika menyoal Teoh) iaitu perkataan 'pakar' dan bukannya 'pagar', Arman menjawab: "Tidak tahu."

Muhammad Shafee berkata kesilapan tiga perkataan dalam dokumen sebut harga itu seolah-olah menunjukkan ia dilakukan oleh orang yang sama walaupun melibatkan tiga syarikat berlainan.

Arman berkata dia tidak pasti dengan perkara itu dan tidak bertanya kepada Teoh mengenainya.

Selain Foong, Hakim Mahkamah Persekutuan; suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman; dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan; Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh; dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan