Suruhanjaya Persoal Masa Diambil SPRM Terlalu Lama

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengambil masa ‘terlalu lama’ hanya untuk menyemak empat keping dokumen yang dikatakan dicetak daripada komputer riba pembantu politik tersebut.

Perkara itu dibangkitkan oleh Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen kepada Penolong Penguasa SPRM, Arman Aleas, 32, yang mengambil masa selama satu jam 15 minit untuk mencari dokumen-dokumen itu di dalam empat buah fail diperoleh daripada Pejabat Tanah Daerah Petaling.

Bagaimanapun, Arman menjelaskan bahawa perkara itu berlaku disebabkan tindakan Teoh yang lebih banyak mendiamkan diri, selain banyak berfikir seoleh-olah cuba mengingati sesuatu menyebabkan pencarian itu hanya tamat pada pukul 11.50 malam, 15 Julai 2009.

“Selain itu, saya juga suka memeriksa semula kerja yang saya lakukan, selain membuat penandaan pada dokumen terbabit,” tambah Arman yang turut menerima arahan untuk mencari sekiranya terdapat dokumen-dokumen yang mencurigakan pada fail tersebut.

Tambah saksi, fail itu diterima daripada Ketua Bahagian Siasatan SPRM Selangor, Hairul llham Hamzah yang semasa itu mengetuai siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan ke atas dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Salah seorang ADUN itu ialah Ean Yong Hian Wah yang merupakan majikan Teoh.

“Saya mencadangkan supaya Teoh mencari bersama saya kerana beranggapan dia lebih arif memandangkan empat dokumen itu dicetak daripada komputer riba dia. Saya berjumpa Teoh untuk kali pertama pada pukul 10.30 malam di bilik mesyuarat utama SPRM,” katanya.

Beliau juga menambah, pencarian itu tidak membawa sebarang hasil menyebabkan Teoh memberi aku janji untuk cuba mencari pada komputer yang terdapat di pejabat dan membawa dokumen itu ke pejabat SPRM, jika ada.

Selain itu, Arman memberitahu, Teoh mengakui bahawa dia tidak tahu akan kewujudan Arahan Perbendaharaan tentang prosedur pemberian kerja yang memerlukan sekurang-kurangnya tiga sebut harga daripada syarikat yang berbeza.

Beliau yang dipanggil sebagai saksi ke-21 juga memberitahu, semasa membuat semakan, beliau ada membuat penandaan pada dokumen yang dirasakan mencurigakan, sama ada dari segi jumlah, tandatangan mahupun cara penyediaan dokumen yang kelihatan seperti sengaja diada-adakan.

Mendengarkan keterangan saksi, Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan anggota suruhanjaya Datuk Abdul Kadir Sulaiman serta Datuk T. Selventhiranathan bertanyakan kepada Arman apakah asas yang menyebabkan beliau curiga.

James: Apa asas kamu? Bagaimana kamu memilih dokumen curiga? Adakah secara rawak?

Arman: Waktu itu saya disuruh untuk mengesan dokumen yang mencurigakan. Kita fokus pada majlis...

Abdul Kadir: Apa asas kamu? Jika begitu tengok semua pun curiga. Ada maklumat yang diterima? Kalau semua pun syak, jadi semua pun tak boleh berniaga.

Selventhiranathan: Adakah kamu semak di pejabat? Kenapa tidak pergi ke syarikat itu dan tanya?

Arman: Memang boleh buat begitu. Tapi dalam kes ini, saya tidak diarahkan untuk berbuat begitu. Jadi apa yang saya buat adalah mengikut arahan.

Menurut saksi, berdasarkan pemeriksaan, beliau membuat lebih 20 penandaan pada dokumen yang dirasakan mencurigakan yang ditemui dalam fail-fail Pejabat Daerah Tanah Petaling.

“Antara dokumen yang kelihatan curiga adalah apabila tandatangan kelihatan seperti sama sahaja dan ada yang tidak mempunyai tandatangan pemilim syarikat dan ada juga yang menggunakan cop rasmi Ean tetapi ditandatangani oleh Teoh,” katanya.

Pada prosiding sama, pengendali suruhanjaya, Awang Armadajaya Awang Mahmud juga bertanyakan saksi sekiranya beliau ada mengambil berat akan kebajikan Teoh pada masa itu.

“Saya rasa untuk kebajikan ada pegawai penyiasat. Saya tidak boleh cakap saya tidak peduli kerana ia agak kasar,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili SPRM, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah menafikan bahawa badan berkecuali tersebut telah melupuskan nota tulisan tangan pegawai-pegawai SPRM yang didakwa oleh wakil Majlis Peguam, Christopher Leong.

“Nota tersebut ditaip untuk kegunaan pihak ketiga, seperti di mahkamah. Tidak ada satu pun yang dilupus atau disembunyikan.

“Sepanjang saya menjadi peguam, ini adalah kali pertama saya melihat sebuah agensi mengemukakan semua dokumen yang mereka ada,” tambah Muhammad Shafee.

James kemudiannya memutuskan supaya perkara itu disiasat oleh penyiasat bebas yang dilantik oleh suruhanjaya, Michael Leslie Squires.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini dan kematiannya menimbulkan persoalan kerana beberapa jam sebelum itu dia berada di pejabat SPRM yang berada di tingkat 14, plaza sama.

Prosiding suruhanjaya bersambung Isnin depan.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan