Teoh Mungkin Tertekan Selepas Disoal Lima Jam: Pegawai SPRM

Diterbitkan: Khamis, 10 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock diberitahu pada Rabu bahawa setiausaha politik exco Selangor itu mungkin berasa tertekan setelah melalui proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih daripada lima jam.

Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohd Ashraf Mohd Yunus berkata, beliau dapat menyelami perasaan itu memandangkan Teoh adalah orang awam.

Mohd Ashraf berkata, beliau pernah melalui siasatan dengan pihak polis berhubung kematian Teoh tetapi boleh menghadapinya dan tidak marah cuma beliau berasa letih.

Beliau berkata demikian selepas ditanya beberapa kali oleh pengerusi suruhanjaya itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, tentang perasaan Teoh setelah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM pada 6 petang 15 Julai 2009 dan tamat pada 12.30 malam 16 Julai.

Teoh juga diminta menunggu beberapa jam selepas itu.

Foong:" Jika kamu dalam keadaan Teoh malam itu, di mana kamu datang pukul 6 petang, tunggu kamu dan Arman Alies (penyiasat SPRM), semak dokumen dan juga tunggu sampai 5 pagi, boleh kamu rasa keadaan dia?"

Mohd Ashraf:"Tidak boleh."

Foong: "Tetapi tadi (semasa disoal Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah) kamu beritahu kamu pernah disoal siasat?

Mohd Ashraf: "Saya hanya rasa letih, tidak marah sebab itu arahan polis supaya bekerjasama."

Foong: "Itu kamu yang diberi latihan untuk menyisat tetapi Teoh orang biasa yang diminta masuk ke bahagian siasatan kali pertama, apa rasa dia, ditahan beberapa jam?"

Mohd Ashraf:"Itu boleh rasa."

Foong: "Kalau kamu Teoh, apa kamu akan rasa."

Mohd Ashraf: "Jika begitu kita akan rasa tertekan."

Di awal prosiding, Mohd Ashraf memberitahu suruhanjaya itu bahawa beliau dan beberapa pegawai SPRM lain disoal siasat oleh pihak polis selama 12 jam pada 17 Julai.

Suruhanjaya siasatan itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka' berhubung kes itu.

Mohd Ashraf, yang merupakan saksi ke-20, berkata bahawa sepanjang berkhidmat selama lima tahun, beliau telah mengikuti beberapa kursus dan dilatih selama enam bulan sebagai penyiasat.

Bagaimanapun beliau hanya didedahkan cara menyiasat saksi dan suspek selama dua jam sahaja bagi tempoh latihan enam bulan itu dan tidak diberitahu kemungkinan-kemungkinan saksi mahu membunuh diri.

Menceritakan mengenai sembilan aduan yang dibuat oleh beberapa suspek terhadapnya, Mohd Ashraf berkata beliau tidak pernah dikenakan tindakan oleh SPRM berhubung aduan itu.

Katanya antara aduan itu adalah berkaitan cara penyiasatannya sama ada menggunakan tangan, menampar atau menggunakan apa-apa objek.

Ditanya oleh Foong sama ada beliau mengasari suspek, Mohd Ashraf berkata: "Tidak."

Beliau berkata bahawa Teoh pada awalnya duduk dalam keadaan bersandar dan tenang tetapi setelah ditunjukkan empat invois yang mempunyai tandatangannya (Teoh), Teoh tidak lagi berkeadaan sedemikian sebaliknya duduk dalam keadaan tegak.

Katanya, Teoh juga banyak berdecap (kerana kehairanan) ketika soal siasat itu tanpa memandang ke arahnya.

Ketika di pantri pula, katanya, Teoh tidak memandang wajahnya ketika diberikan air dan gelas.

Prosiding disambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan