Pengakuan Bersalah Bekas Pengetua Sekolah Ditolak

Diterbitkan: Khamis, 10 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGETOWN: Mahkamah Sesyen pada Rabu, menolak pengakuan bersalah bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Kumbar II, Dr P.Iskandar Abdullah, berhubung tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM15,550 milik sekolah itu.

Pengakuan itu ditolak oleh Hakim Zanol Rashid Hussain selepas Iskandar, 55, memberitahu mahkamah wang yang dimasukkan dalam akuannya itu tidak pernah diambilnya walaupun satu sen sebaliknya digunakan untuk pembayaran biasiswa pelajar, kos pembaikan sekolah dan urusan lain.

Iskandar, yang kini bertugas sebagai Pegawai Naziran di Kementerian Pelajaran di Putrajaya, menyatakan demikian ketika mahkamah memberinya peluang untuk membuat rayuan selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

"Saya mengaku salah tetapi sebagai pengetua pertama di sekolah tersebut yang belum mendapat OC (sijil layak menduduki bangunan) pada masa itu, sudah menjadi amalan biasa wang itu dimasukkan dalam akaun saya sebagai ketua jabatan di sekolah itu, tetapi saya tidak ambil apa-apa," katanya.

Pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Janariah Abdul Mutalib kemudian bangun sambil menjelaskan bahawa sebarang cek mesti melalui akaun sekolah dan bukannya akaun persendirian.

Zanol Rashid menetapkan kes itu disebut semula pada 23 Mac ini bagi membolehkan Iskandar melantik peguam.

Mengikut pertuduhan, Iskandar didakwa melakukan pecah amanah lima keping cek Maybank bernilai RM7,750, RM1,800, RM3,200, RM1,800 dan RM1,000 yang merupakan peruntukan bagi kegunaan hal ehwal kewangan sekolah itu.

Beliau didakwa telah mendepositkan kesemua cek itu ke dalam akaun simpanan miliknya antara 26 Februari dan 19 Disember 2007.

Zanol Rashid membenarkan Iskandar dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan beliau membayar jaminan tersebut. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan