Petani Didakwa Sogok Inspektor

Diterbitkan: Rabu, 9 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang petani mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi rasuah kepada pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai dorongan untuk membebaskan tujuh wanita warga China.

Pengakuan Gan Chen Chong, 36, direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Asmadi Hussain pada Rabu.

Dia didakwa memberi suapan itu dalam bentuk wang tunai RM3,000 kepada Inspektor Mohd All Amin Mohamed Zawawi pada pukul 11.10 malam, 3 Jun 2010.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Gerakan Balai Polis Sekinchan, Sabak Bernam, dekat sini.

Semasa itu, Mohd All Amin telah menahan tujuh wanita terbabit yang didakwa tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10.000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Asmadi membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan