Tiga Pakar Psikiatri Akan Menemu Bual Anggota Keluarga Teoh

Diterbitkan: Selasa, 8 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock pada Isnin mengarahkan tiga pakar psikiatri menemu bual anggota keluarga Teoh untuk menentukan keadaan mental setiausaha politik kepada exco Selangor itu sebelum dia meninggal dunia.

Ketiga-tiga pakar psikiatri itu iaitu perunding forensik psikiatri Hospital Permai Johor Dr Bada'iah Yahya, pakar perunding psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Nor Hayati Ali dan pengarah Hospital Permai Johor Dr Benjamin Chan, diperlukan untuk membantu suruhanjaya bagi mengenal pasti sifat dan sikap Teoh.

Selain anggota keluarga, Pengerusi suruhanjaya itu Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen turut mengarahkan pakar psikiatri itu menemu bual tunang Teoh, Soh Cher Wei dan rakan media kerana Teoh sebelum ini bekerja sebagai setiausaha akhbar dan pernah bekerjasama dengan media.

"Soh adalah saksi penting dalam kes ini dan setakat ini tiada kenyataan diperolehi daripadanya. Jadi kita mahu pakar psikiatri menemu bualnya untuk mendapatkan maklumat dan suruhanjaya yakin dengan kenyataan yang diberikan dapat membantu siasatan," katanya. Foong berkata, walaupun keluarga Teoh sebelum ini enggan ditemu bual oleh pakar psikiatri, suruhanjaya itu akan berusaha untuk meyakinkan mereka.

Sebelum ini, anggota keluarga mendiang Teoh iaitu bapanya Teoh Leong Hwee, ibunya Teng Shuw Hoi, abangnya Teoh Meng Kee dan Soh enggan menjalani temu bual penilaian psikiatri di Hospital Selayang berikutan peguam mereka tidak dibenarkan menemani mereka dalam sesi itu.

Terdahulu, peguam Christopher Leong dari Majlis Peguam memohon supaya Dr Benjamin dibenarkan untuk menemu bual anggota keluarga Teoh dan bekerjasama dengan Dr Bada'iah dan Dr Nor Hayati untuk menyediakan laporan berhubung hasil temu bual itu.

Perkara itu turut disokong peguam dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang memaklumkan penglibatan pakar psikiatri itu diperlukan untuk mengkaji sifat dan sikap mendiang Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu. Pada prosiding pada Isnin, pakar perubatan forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Mohamed Noor dan Pegawai penyiasat dari cawangan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Mohd Zulaimi Mohd Zubir hadir untuk memberi keterangan.

Selain Foong, Suruhanjaya Siasatan itu turut dianggotai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka' berhubung kes itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan