Mahkamah Benarkan Permohonan Gugurkan Tiga Barang Daripada Dijadikan Bukti

Diterbitkan: Selasa, 8 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan tiga barang yang diambil dari sel tempat beliau ditahan semalaman pada 16 Julai, 2008, daripada dijadikan sebagai bukti.

Turut digugurkan ialah sampel yang diambil daripada barangan itu yang menurut pihak pendakwa adalah sepadan dengan profil DNA Lelaki Y, yang air maninya ditemui dalam dubur pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu Anwar.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mendapati tiga barang itu sehelai tuala kecil Good Morning, satu botol air mineral dan satu berus gigi telah diperoleh secara tidak sah.

"Oleh yang demikian, tiga barangan berkenaan dan mana-mana keterangan berkaitan dengan analisis DNA itu adalah digugurkan sebagai sebahagian barang bukti," katanya dalam penghakiman lisannya.

Ini bermakna keterangan yang diberikan ahli kimia Nor Aidora Saedon yang mengambil sampel daripada barangan tersebut tidak akan diterima sebagai keterangan.

Begitu juga dengan keterangan ketua makmal forensik Polis Diraja Malaysia di Cheras, Supritendan Hamidon Adnan, yang telah mengambil tiga barang itu dari sel di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur.

Hakim Mohamad Diah telah membenarkan permohonan pihak pembelaan bagi diadakan perbicaraan dalam perbicaraan atas alasan penahanan Anwar tidak mengikut undang-undang dan tiga barang itu diperoleh secara tidak sah.

Pihak pembelaan memanggil Anwar dan dua peguam belanya iaitu S.N.Nair, yang ada bersamanya semasa beliau ditahan oleh polis semasa dalam perjalanan ke rumahnya di Segambut dan R.Sivarasa, yang ada bersamanya di IPK, sebagai saksi manakala hanya Supt Ahmad Taufik Abdullah, pegawai polis yang menahan Anwar, memberikan keterangan bagi pihak pendakwa.

Karpal Singh, pada awal prosiding hari ini, mempertahankan hujahannya bahawa polis memperoleh barangan itu " secara tidak sah dan tidak adil" selepas Anwar enggan memberikan profil DNA beliau.

Beliau berkata, mahkamah sepatutnya mencontohi kes undang-undang di Malaysia dan bukannya Amerika atau British atau negara asing lain dalam membuat keputusan sama ada untuk membenarkan barangan itu diterima sebagai barang bukti.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden semalam telah menjadikan kes undang-undang di Amerika, British, Jamaica dan Afrika sebagai contoh semasa berhujah bahawa keterangan yang relevan patut diterima walaupun ia mungkin diperoleh secara tidak sah.

Selepas menyampaikan keputusannya itu, Hakim Mohamad Zabidin meminta pihak pendakwa meneruskan perbicaraan kes Anwar, 63, yang dituduh meliwat Mohd Saiful, 25, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Mohamed Yusof, bagaimanapun berkata pihak pendakwa tidak bersedia untuk meneruskannya kerana saksi-saksi tidak diminta hadir pada prosiding hari ini.

Katanya pihak pendakwa akan memanggil tiga saksi termasuk pegawai penyiasat Deputi Supritenden Judy Balicious Pereira.

Hakim Mohamad Zabidin menangguhkan perbicaraan ke esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan