Teori Teoh Beng Hock Mencangkung Sebelum Terjun Cetus Pelbagai Reaksi

Diterbitkan: Rabu, 2 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Teori berhubung kedudukan Teoh Beng Hock yang dikatakan mencangkung di tepi tingkap sebelum terjun, mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan anggota Suruhanjaya untuk menyiasat kematian setiausaha politik itu, Selasa.

Pensyarah kanan Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Prashant Naresh Samberkar yang mengemukakan teori itu berkata, mangsa dipercayai mencangkung pada bingkai tingkap sehingga meninggalkan kesan pada kedua belah tapak kasut mangsa.

Beliau berkata, lawatan kedua ke tempat kejadian mendapati tapak kasut Teoh mempunyai kesan yang selari dengan bingkai berkenaan, dan berdasarkan penelitiannya, walaupun dalam bukaan tingkap seluas 45 darjah, mangsa masih boleh terjun.

Teori itu ternyata mengejutkan Pengerusi suruhanjaya tersebut, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen, yang mengemukakan pelbagai pertanyaan kepada Prasant, selain mempersoalkan bagaimana Teoh boleh memegang tingkap cermin tersebut.

Prakash yang kelihatan begitu yakin dengan teorinya berkata mangsa sememangnya boleh memegang tingkap tersebut, dan beliau sendiri telah melihat keadaannya ketika terbuka serta yakin cap jari ditemui pada tingkap itu kerana Teoh telah memegangnya.

Beliau berkata, teori itu bukan sekadar pendapat biasa kerana ia dihasilkan dari sains forensik serta berdasarkan pengalaman, dan tragedi yang menimpa Teoh adalah disebabkan terjun dari tempat tinggi.

Berdasarkan pengalaman, Prakash berkata sedar kebanyakan anggota keluarga mangsa tidak yakin dengan teorinya, namun beliau telah membuat pelbagai kajian berkaitan kes bunuh diri lebih 10 tahun.

Mengenai kemungkinan Teoh dicampak dari tingkap, beliau berkata jika perkara itu berlaku, mangsa pasti berada dalam keadaan tidak sedar dan tapak kasutnya tidak akan mempunyai kesan calar.

Pensyarah berusia 44 tahun itu pernah memberi keterangan pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam berhubung perkara itu dan beliau masih mempertahankan hasil kajiannya.

Selain itu, tindakan Prasant mengambil dan menyimpan gambar di lokasi kajian serta bedah siasat Teoh dipuji Hakim Foong, malah gambarnya, yang tidak pernah didedahkan sebelum ini, diakui lebih baik daripada eksibit.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim yang menyambung keterangannya berkata, Teoh mungkin mati empat jam sebelum mayatnya ditemui, iaitu antara 6.30 pagi hingga 2 petang.

Beliau berkata berdasarkan kandungan isi perut dan air, mangsa dipercayai mati beberapa jam selepas makan atau minum, dan pada anggarannya, antara 6.30 pagi hingga 7 pagi.

Dr Khairul Azman juga berkata jika mangsa dicekik, bahagian dalam matanya akan menimbulkan kesan bintik merah, selain kesan melecet pada leher.

Katanya, jika lelaki dewasa dicekik, maka akan terdapat kesan pergelutan, namun analisis ke atas mayat Teoh tidak menunjukkan wujudnya tanda sedemikian.

Selain Foong, Suruhanjaya Siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Pada prosiding hari ini, gambar bedah siasat Teoh tidak ditayangkan secara langsung menerusi televisyen yang diletakkan di luar mahkamah dan di bilik media.

Walaupun keluarga Teoh tidak hadir dalam prosiding tersebut, anggota suruhanjaya memutuskan untuk tidak menayangkannya bagi menghormati mereka.

Suruhanjaya turut memutuskan untuk membenarkan Prasant dan Dr Khairul Azman berada bersama Majlis Peguam dan SPRM apabila Pakar Patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand memberi keterangan pada 16 dan 17 Mac depan.

Prosiding disambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 3:30 PM

Ebba Tak Minat Jadi Jurutera

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan