Pembantu Am Pejabat Tanah Didakwa Terima Suapan RM1,300

Diterbitkan: Selasa, 1 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu am rendah di Pejabat Tanah di sini, Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM1,300, empat tahun lepas.

Hussin Che Mohamad, 52, didakwa menerima suapan itu daripada Mohd Shahril Saleh sebagai dorongan untuk menukar nama hak milik tanah milik Omar Ismail yang telah meninggal dunia kepada nama bapa saudara Mohd Shahril, Mohamad Awang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 12.40 tengah hari 14 Januari 2007.

Hussein didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Azman Mustapha menetapkan 30 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hisham Hashim. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan