Kes AminulRasyid: Koperal Jenain Diperintah Bela Diri

Diterbitkan: Selasa, 1 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, memerintahkan seorang anggota polis, Koperal Jenain Subi untuk membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian pelajar tingkatan tiga, AminulRasyid Amzah dalam satu kejadian tembakan, tahun lalu.

Hakim Latifah Mohd Tahar membuat keputusan tersebut selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan untuk dijawab oleh Jenain, 48.

Beliau yang mendengar keterangan 39 saksi pendakwaan pada perbicaraan, menetapkan 14 dan 15 April depan untuk Jenain yang memilih memberi keterangan secara bersumpah membela diri.

Pada penghakimannya, Latifah berpendapat bahawa Jenain yang bertugas di Ibu Pejabat Polis di sini mempunyai niat untuk melakukan kesalahan itu semasa melepaskan tembakan ke arah kereta Proton Iswara BET 5023 yang dipandu oleh AminulRasyid pada hari kejadian.

“Sebagai seorang anggota polis, tertuduh wajar tahu bahawa apabila tembakan dilepaskan dan terkena pada sasaran, ia boleh menyebabkan kematian apatah lagi dalam kes ini, di mana tertuduh menggunakan senjata sub mesingan,” kata Latifah.

Selain itu, beliau juga berpendapat, pada masa itu kereta yang dinaiki oleh AminulRasyid bersama seorang lagi kawan, Muhammad Azamuddin Omar, 16, tidak berada dalam keadaan yang boleh membahayakan keselamatan polis mahupun pengguna jalan raya yang lain.

“Tembakan dilepaskan oleh tertuduh ke arah kereta dan keterangan menunjukkan semasa itu, kereta berada dalam keadaan terhuyung-hayang dan akan terbabas kerana telah tidak dapat dikawal.

“Kelajuan kereta juga pada kadar antara 60 dan 70 kilometer sejam. Ini menunjukkan kereta tidak lagi membahayakan penggguna jalan kerana tiada kereta lain di tempat tersebut. Kawasan itu juga kawasan perumahan dan tiada tindakan dilakukan oleh kereta BET5023 ke arah kereta-kereta peronda,” katanya lagi.

Latifah juga berkata, niat untuk Jenain melakukan kesalahan itu juga dapat dilihat melalui jumlah tembakan, iaitu sebanyak 21 das tembakan yang dilepaskan ke arah kereta milik kakak AminulRasyid yang dipandunya tanpa pengetahuan keluarga.

Berdasarkan keterangan pakar patologi dari Hospital Besar Ampuan Rahimah Klang (HTAR), Klang, dekat sini, Dr Khairul Azman Ibrahim, mangsa yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, di sini, meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala daripada sebutir peluru.

Jenain yang hadir dengan memakai kopiah, berbaju kemeja dan seluar slack hitam kelihatan tenang semasa mendengar keputusan itu manakala ibu AminulRasyid, Norsiah Mohamad, 62, dilihat mengesat air matanya semasa prosiding berjalan.

Turut memenuhi galeri awam mahkamah ialah ahli keluarga dan rakan-rakan kepada Jenain dan AminulRasyid.

Jenain dibicarakan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana didakwa menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, pada antara 1.10 dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada empat orang anak itu boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan juga dikenakan denda.

Barisan pendakwaan dibarisi oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Ahmad manakala Jenain diwakili oleh peguam-peguam M. Athimulan, Salim Bashir, Halim Asghar dan K. Rajoo.

Peguam N. Surendran pula hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Sementara itu, di luar mahkamah, Surendran berkata, keluarga AminulRasyid berpuas hati kerana kes tersebut akhirnya akan ke peringkat seterusnya, iaitu peringkat pembelaan.

“Apa yang kami mahukan adalah keadilan dan bukan dendam. Apa yang penting, hakim berkata kereta itu tidak lagi dalam keadaan agresif, sesuatu yang kami tekankan dari awal kes ini,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan