Dr Prashant Pertahan Teori Teoh Beng Hock Mati Bunuh Diri

Diterbitkan: Selasa, 1 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pensyarah Kanan, Jabatan Perubatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Prashant Naresh Samberkar mempertahankan pendapatnya bahawa kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock adalah disebabkan perbuatan membunuh diri meskipun pandangan itu berbeza daripada pendapat pakar patalogi luar negara.

Prashant, 42, berkata, teori beliau yang mencadangkan bahawa Teoh terjun dari sebuah tingkap yang terletak di tingkat 14 Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini, bukan dibuat dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya dirumuskan setelah mengambil kira kajian yang dilakukannya selama 10 tahun.

"Saya tahu keluarga Teoh tidak yakin dengan penemuan saya, tetapi saya telah banyak melakukan penyelidikan berkaitan jatuh daripada tempat yang tinggi. Disebabkan itu saya boleh membuat kesimpulan ini," katanya.

Prashant berkata demikian semasa memberi keterangan sebagai saksi inkuiri ke 18 pada prosiding Suruhanjaya Siasatan yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh. Mengulas tentang teorinya, Prashant percaya Teoh telah mencangkung pada bahagian bingkai tingkap dengan keadaan satu tangannya menyentuh tingkap sehingga meninggalkan kesan tapak tangan di tingkap itu sebelum terjun.

Teori itu dikukuhkan lagi apabila beliau menemui kesan garisan lurus pada kedua-dua belah tapak kasut Teoh, berhampiran bahagian tumit yang didapati selari dengan bingkai tingkap.

"Saya telah memberitahu tentang penemuan itu kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal. Saya juga meminta untuk melakukan pemeriksaan kali kedua pada bahagian tingkap. Saya juga periksa kasut Teoh," katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen seolah-olah tidak boleh menggambarkan bagaimana seseorang lelaki yang setinggi 5 kaki 10 inci seperti Teoh boleh berdiri pada tingkap yang hanya boleh dibuka seluas 45 darjah.

Justeru itu, James bertanyakan kepada Prashant sekiranya beliau boleh ‘mencipta’ semula kejadian dengan menggunakan peralatan teknologi bagi mendapatkan gambaran yang sebenarnya.

Prashant menjawab, beliau juga berminat jika perkara seumpamanya dapat dilakukan.

Selain itu, Prashant juga berkata, berdasarkan kesan kecederaan yang berlaku di bahagian kaki dan kesan seretan pada tapak kasut, Teoh berada dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Saya percaya Teoh mendarat pada bahagian kaki, diikuti bahagian punggung dan akhir sekali kepala," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pakar patalogi, Dr Khairul Azman Ibrahim, 53, juga menyokong keterangan Prashant bahawa tiada kesan cedera akibat dicekik mahupun kesan orang mempertahankan diri pada Teoh.

Menurut saksi yang berkhidmat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini, seseorang yang dicekik akan meninggalkan kesan lebam.

"Saya bersetuju bahawa mungkin kesan lebam tidak berlaku jika ia melibatkan seorang budak. Tetapi, jika untuk seorang dewasa, sudah pasti dia akan bergelut dan meninggalkan kesan lebam," tambah beliau.

Khairul Azman juga berkata, pemeriksaan pada mata Teoh juga tidak menemui kesan bintik-bintik merah yang akan berlaku apabila seseorang dicekik.

Selain itu, saksi juga percaya bahawa Teoh cuba untuk menyelamatkan diri semasa sedang jatuh dan hidup selama beberapa minit selepas mendarat di koridor tersebut.

"Semasa jatuh, Teoh masih sedar dan cuba untuk menyelamatkan diri menyebabkan dia mendarat kaki dahulu yang menyebabkan kedua-dua tulang kaki patah.

"Selepas jatuh, Teoh mungkin masih hidup beberapa minit berdasarkan kehadiran gelembung udara pada dadanya," tambah Khairul Azman.

Berhubung waktu kematian Teoh, Khairul Azman menganggarkan dia mati antara pukul 6.30 dan 7 pagi, 16 Julai 2009 yang dibuat selepas mengambil kira keadaan kaku mayat dan isi kandungan perut mendiang.

Pada prosiding sama, James turut merujuk pada laporan perubatan yang disediakan oleh pakar patalogi Thailand, Dr Pornthip Rojasunan yang berpendapat berlaku unsur jenayah dalam kematian tersebut.

Bagaimanapun, Khairul Azman berkata, ada perkara yang tidak difahaminya pada beberapa bahagian laporan yang disediakan oleh Pornthip yang terkenal dengan gelaran ‘Dr Kematian’ itu.

Oleh itu, James bertanyakan kepada Khairul Azman jika beliau berminat untuk hadir mendengar keterangan Pornthip yang akan hadir di mahkamah pada 16 dan 17 Mac ini bagi mendapatkan penjelasan.

Khairul Azman menjawab, beliau akan hadir pada hari tersebut.

Teoh, 30, ditemui mati di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam pada 16 Julai 2009 dan kematiannya menimbulkan persoalan kerana beberapa jam sebelum itu dia berada di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 plaza itu.

Dia yang merupakan pembantu politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah hadir sebagai saksi berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan Kerajaan Negeri Selangor. Pada 29 Julai 2009, satu prosiding inkues bagi menyiasat kematian Teoh mula bersidang dan pada 5 Januari lalu, Koroner Azmil Muntapha Abas memberikan keputusan terbuka kerana tidak dapat memutuskan sama ada mendiang membunuh diri atau dibunuh.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan